Benarkah penghuni syurga ramai orang miskin?
DILABEL miskin membuatkan diri terasa amat terhina dan serba kekurangan. Mengertilah, itu hanya pandangan kita dan sebilangan manusia sahaja.
Miskin di dunia, tidak bererti kita juga daif di akhirat. Ketahuilah, penilaian di sisi ALLAH SWT tidak sama insan biasa. Bukan kemiskinan yang dipandang oleh-NYA, tetapi kesabaran kita menerimanya, amalan baik dan akhlak terpuji yang menghiasi diri.
Usah bersedih dengan ujian ALLAH buat kita di dunia. Sebaliknya, berlapang dada dan bersabarlah mendepaninya.
Khabar gembira menanti buat mereka yang bersabar dengan ketentuan-NYA.
Menurut pendakwah Ustaz Addien Abdul Kadir, kebanyakan penghuni syurga ialah orang miskin, lemah dan menderita, tetapi mereka beriman dan bersabar ketika hidupnya.
Rasulullah SAW bersabda: “Aku pernah melihat syurga. Kebanyakan penghuninya adalah orang miskin.” (Hadis Riwayat al-Bukhari)
Sementara itu, ujar beliau, orang kaya beriman akan disoal panjang dan tertahan 500 tahun lamanya sebelum masuk syurga.
Ia sebagaimana dinyatakan dalam sebuah hadis yang mana Nabi Muhammad SAW bersabda: “Orang miskin yang beriman masuk syurga setengah hari lebih awal, bersamaan 500 tahun.” (Hadis Riwayat at-Tirmizi)
Melihat ungkapan hadis berkenaan, ujar Ustaz Addien yang juga penulis buku kerohanian, susah atau derita seseorang di dunia, tetapi andai mereka sabar menerimanya, maka semakin luas dan cepat jalan mereka ke syurga jika beriman.
“Semakin kaya dan banyak harta di dunia, maka semakin panjang seseorang akan disoal serta lambat masuk syurga walaupun mereka beriman,” katanya sebagaimana dipetik menerusi platform X miliknya.
Seperkara lagi, jangan pandang remeh dengan orang miskin. Itu hanya kekurangan ‘kecil’ sahaja kerana doa orang miskin sebenarnya berkat.
Demikian hantaran yang dikongsikan dalam laman sosial Facebook Majlis Agama Islam Negeri Sembilan.
Dalam sebuah hadis daripada Harits bin Wahb RA, dia berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Mahukah aku beritahu pada kalian siapakah ahli syurga itu? Mereka itu adalah setiap orang yang lemah dan dianggap lemah oleh manusia, tetapi jika ia bersumpah atas nama ALLAH, pastilah ALLAH mengabulkan apa yang disumpahkannya.
“Mahukah aku beritahu kepada kalian siapakah ahli neraka itu? Mereka itu adalah setiap orang yang keras, bakhil dan gemar mengumpulkan harta lagi sombong.” (Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Menurut Syarh Sahih Muslim: “Orang yang lemah yang dimaksudkan adalah orang yang diremehkan orang lain kerana kekurangan di dunia seperti miskin. Al-Qadhi menyatakan, yang dimaksudkan orang yang lemah adalah orang yang lembut hatinya dan tawaduk.”
Justeru, usahlah kita memandang hina dengan kemiskinan dan orang miskin kerana barangkali mereka lebih baik daripada kita.
Kepada mereka yang diuji sedemikian rupa, bersabar dan berikhtiarlah dalam merentas kehidupan dunia yang fana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!