Dua lelaki simbah cat didenda RM2,500

Dua lelaki masing-masing didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat, dua minggu lalu. - Gambar hiasan
Dua lelaki masing-masing didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat, dua minggu lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

PORT DICKSON - Dua lelaki masing-masing didenda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret, di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan khianat, pada dua minggu lalu.

Tertuduh, Yong Wai Kee, 36 dan Chan Wai Hong, 33 membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Uthman Abd Ghani.

Mahkamah turut menetapkan tertuduh dikenakan dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh bersama-sama telah melakukan khianat dengan cara menyimbah cat warna merah sehingga menyebabkan kerosakan pada halaman rumah milik seorang individu.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 8 Disember lalu jam lebih kurang 11 pagi di sebuah rumah di Taman Flora Kampung Paya, Port Dickson.

Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 426 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh hendaklah dihukum penjara hingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya, Nadia Ezzati Mohd Zainal manakala tertuduh masing-masing berasal dari Raub, Pahang dan Kajang, Selangor tidak diwakili peguam.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintenden Aidi Sham Mohamed dalam kenyataannya pada Selasa memaklumkan, pihak polis menerima laporan daripada seorang wanita berusia 56 tahun mengatakan rumahnya telah disimbah cat merah dan sekeping nota kertas berwarna merah ditinggalkan oleh individu yang tidak dikenali.

Menurutnya, siasatan mendapati sebelum ini anak kepada pengadu telah membuat pinjaman dengan seorang along di Singapura tetapi pinjaman tersebut telah dibayar oleh pengadu.

Ujarnya, dua lelaki terbabit ditahan di Perak pada Isnin lalu bersabit kes berkenaan dan mendapati seorang suspek mempunyai sembilan rekod jenayah lampau melibatkan jenayah dan dadah, manakala seorang lagi mempunyai lima rekod jenayah dan dadah.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!