'PPS umpama rumah kedua kami bila hujung tahun'

Sebuah rumah penduduk di Kampung Asahan yang dilanda banjir sejak Jumaat lalu.
Sebuah rumah penduduk di Kampung Asahan yang dilanda banjir sejak Jumaat lalu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Penduduk di Kampung Asahan di sini mengakui sudah lali berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan kediaman mereka sering terjejas akibat banjir.

Sabariah Saleh, 57, berkata, hampir saban tahun dia berpindah ke PPS yang dianggap sebagai 'rumah kedua' setiap kali musim hujan terutama hujung tahun.

Menurutnya, kediamannya terletak berhampiran Sungai Selangor sering menjadi kawasan terawal dilanda banjir di kampung itu.

"Saya dan keluarga sudah lali dengan banjir dan keadaan ini berlarutan sejak kami berpindah ke kampung ini 43 tahun lalu," katanya ketika ditemui di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Menurut Sabariah, rumahnya disedari mula dilimpahi air setinggi 0.2 meter kira-kira jam 6 pagi pada Jumaat lalu.

Ibu lapan anak itu memberitahu, semasa kejadian, dia yang baharu terjaga daripada tidur ingin ke tandas untuk mengambil wuduk.

"Saya terkejut apabila air sudah penuh di bilik air dan beberapa minit kemudian mula melimpah ke bahagian dapur," ujarnya.

Noorazley (kiri) bertanya sesuatu kepada mangsa banjir di SK Sultan Abdul Aziz Shah pada Rabu.
Noorazley (kiri) bertanya sesuatu kepada mangsa banjir di SK Sultan Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penduduk, Mohd Rizam Ismail, 46, berkata, kejadian banjir termenung merunsingkan penduduk yang terpaksa berpindah ke PPS berkenaan.

Katanya, penduduk buntu kerana terpaksa tinggal lebih lama di PPS berikutan banjir yang melanda kampung mereka lambat surut.

"Kami sudah penat hadapi banjir termenung dan berharap ia dapat ditangani pada masa akan datang," tambahnya.

Ariyanti Buang, 38, pula berkata, sudah menjadi rutin tahunan dia berpindah ke PPS setiap kali banjir.

Ariyanti memberitahu, hujan berterusan menyebabkan rumah yang diduduki bersama suami serta dua anak berusia 10 dan 11 tahun digenangi air.

"Ini tahun keenam saya dan keluarga ditempatkan di PPS setiap kali rumah kami dinaiki air," jelasnya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Datuk Noorazley Yahya turut menziarahi penduduk terjejas di PPS berkenaan.

Noorazley berkata, masalah dihadapi penduduk Kampung Asahan dan Kampung Kuantan yang kerap dilanda banjir termenung sudah dibahaskan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini.

Beliau menegaskan, isu banjir bukan kali pertama berlaku di kampung terbabit, malah ia kerap kali menimpa penduduk yang tinggal berhampiran Sungai Selangor.

"Dalam ucapan perbahasan (sidang DUN Selangor) tempoh hari, saya memberitahu banjir di kedua-dua kampung ini seolah-olah acara tahunan bagi penduduk.

"Kita minta penyelesaian terbaik yang perlu dilaksanakan kerajaan negeri untuk mengatasi masalah banjir di kawasan ini," kata beliau.

Beliau turut berharap kerajaan negeri memberi tumpuan banjir secara berterusan bagi mengelakkan kejadian sama terus berulang.

Noorazley (lima dari kanan) bergambar bersama agensi kerajaan dan mangsa banjir yang ditempatkan di SK Sultan Abdul Aziz Shah pada Rabu.
Noorazley (lima dari kanan) bergambar bersama agensi kerajaan dan mangsa banjir yang ditempatkan di SK Sultan Abdul Aziz Shah pada Rabu.

Tambah Noorazley, sebanyak empat pam disediakan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mengeluarkan air ke sungai berdekatan.

Katanya, usaha itu dilihat sebagai langkah jangka masa pendek bagi menangani banjir termenung yang merunsingkan penduduk.

"Saya berterima kasih atas kerjasama semua agensi kerajaan terlibat yang berusaha menyelesaikan segera masalah ini.

"Saya difahamkan sebanyak lapan keluarga di Kampung Asahan dijangka dibenarkan pulang selepas keadaan banjir surut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!