Monsun Timur Laut bukan alasan naikkan harga ikan
PASIR PUTEH - [DIKEMAS KINI] Orang tengah diingatkan supaya tidak mengambil kesempatan untuk menaikkan harga ikan sepanjang Monsun Timur Laut (MTL) yang sedang melanda di negeri Pantai Timur.
Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil berkata, hal ini kerana bekalan bahan mentah itu cukup untuk menampung keperluan rakyat.
"Perkara ini tidak sepatutnya berlaku dengan menjadikan MTL sebagai alasan untuk menaikkan harga.
"Nelayan di Pantai Barat masih boleh turun ke laut ketika ini, malah nelayan-nelayan kategori bot C dan C2 di Pantai Timur masih boleh ke laut walaupun MTL," katanya semasa sidang akhbar pada Rabu.
Beliau sebelum itu merasmikan Rahmah Mesra Madani bersama nelayan di Persatuan Nelayan Kawasan Semerak di sini.
Seramai 50 nelayan di Pasir Puteh menerima bantuan bakul makanan sempena MTL.
Menurut beliau, pada masa sama Perak merekodkan jumlah pendaratan ikan tertinggi di Malaysia iaitu sebanyak 15,000 tan metrik sebulan.
Tambah beliau, di Sabah pula 10,000 tan metrik ikan didaratkan di negeri berkenaan sekali gus mampu menampung keperluan dalam negara.
Muhammad Faiz berkata, kerajaan turut membenarkan pemain industri untuk mengimport ikan dari luar bagi memastikan bekalan sentiasa cukup.
"Oleh itu, LKIM berharap pihak berkenaan tidak mengambil kesempatan di sebalik MTL.
"Kerajaan sentiasa mengambil serius berkait isu bekalan ikan terutama dari soal harga," katanya.
MTL: LKIM jumpa Jabatan Perikanan bincang soal tangkapan udang
Dalam perkembangan lain, Muhammad Faiz berkata, LKIM akan berjumpa dengan Jabatan Perikanan untuk membincangkan isu berkait tangkapan udang di pesisir pantai sepanjang MTL.
Menurutnya, hal ini kerana peraturan itu berada di bawah bidang kuasa jabatan tersebut.
"Mungkin ada keperluan untuk melonggarkan syarat bagi memberi ruang kepada nelayan pesisir pantai berbuat demikian.
"Hasrat kita supaya ada ruang buat nelayan yang tidak dapat ke laut untuk menangkap undang," katanya.
Media sebelum ini melaporkan, sekumpulan nelayan di Kuala Besut, Terengganu merayu agar kerajaan dapat mempertimbangkan untuk membenarkan mereka membuat penangkapan udang di pesisir pantai ketika musim tengkujuh.
Ini kerana bagi mereka, musim udang yang tiba menjelang Disember hingga Mac itu dilihat dapat memberi kelegaan untuk mereka menambah hasil pendapatan.
Bagi nelayan di Kampung Nail, Kuala Besut, di sepanjang musim monsun, ia merupakan lubuk rezeki untuk mereka mencari rezeki tambahan kerana ia merupakan musim udang di pesisir pantai.
Namun dengan larangan tangkapan oleh agensi kerajaan, ia meresahkan sebahagian daripada nelayan di sini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!