Bunuh rakan: Nelayan dipenjara 32 tahun, 12 sebatan
IPOH - Seorang nelayan dihukum penjara 32 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi Ipoh atas dua pertuduhan bunuh dan cubaan membunuh dua rakannya, tiga tahun lalu.
Keputusan dibuat Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed selepas tertuduh, Nai San Thein, 38, warga Myanmar mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Myint Soe di atas bot, Pelantar Ikan Lee Hang Chin Fishery dekat Bagan Parit 4, Bagan Datuk antara jam 11 hingga 11.45 pagi pada 6 April 2020.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan maksimum 40 tahun dengan sebatan tidak kurang 12 sebatan.
Tertuduh turut didakwa melakukan cubaan membunuh terhadap seorang lagi rakan, San Thein pada masa, tarikh dan lokasi sama.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Saifulakmal Mod Said manakala tertuduh diwakili Peguam Ranjit Singh.
Saifulakmal memberitahu mahkamah bahawa perbuatan dilakukan tertuduh merupakan satu kesalahan serius dan perlu dihukum gantung.
Bagaimanapun Ranjit dalam rayuannya memohon anak guamnya dikecualikan daripada hukuman gantung dan dikenakan hukuman penjara yang minimum, mengambil kira pengakuan bersalah lelaki itu telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.
Menurutnya, dalam kes itu, mayat si mati tidak ditemui menyebabkan siasatan tidak mengetahui sebab kematian sama ada akibat mati lemas atau lain-lain selain tiada penyataan impak daripada pihak pendakwaan.
"Tertuduh juga mengakui kesal terhadap kejadian ini dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan sama," katanya.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara 32 tahun dan 12 sebatang bagi kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan empat tahun penjara di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Kedua-dua hukuman penjara itu diperintahkan dijalankan secara serentak dari tarikh tangkapan iaitu pada 6 April 2020.
Perbicaraan bagi kes tersebut dijalankan pada 6 Julai lalu dengan dua saksi pendakwaan membabitkan lelaki warga Myanmar dipanggil memberi keterangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!