Orang ramai serbu Jualan Rahmah dalam balai polis

Sebahagian orang ramai yang hadir sedang menunggu giliran membayar barangan keperluan dibeli sempena Program Jualan Rahmah di IPD Manjung pada Rabu.
Sebahagian orang ramai yang hadir sedang menunggu giliran membayar barangan keperluan dibeli sempena Program Jualan Rahmah di IPD Manjung pada Rabu.
A
A
A

MANJUNG - Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung dengan kerjasama Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menampilkan kelainan apabila menganjurkan Program Jualan Rahmah di pekarangan IPD Manjung di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, program tersebut diadakan bagi membantu meringankan beban anggota dan masyarakat setempat selain mengeratkan hubungan dengan komuniti.

Menurutnya, penganjuran program berkenaan turut melibatkan ahli Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Manjung yang membuat jualan masing-masing.

"Sebenarnya ini bukanlah pertama kali dianjurkan tetapi ia sudah diadakan beberapa kali.

"Melihat kepada sambutan yang amat menggalakkan, kita teruskan dengan kerjasama pelbagai agensi. Kita amat menghargai kerjasama semua pihak dalam menjayakan program ini.

"Melalui program ini, kita mahu hubungan polis dengan masyarakat lebih erat. Selain membeli barangan keperluan, orang ramai boleh mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan keselamatan atau membuat aduan. Mereka boleh terus berjumpa saya atau pegawai yang ada di sini," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui sempena Program Jualan Rahmah di IPD Manjung di sini pada Rabu.

Mohamed Nordin (dua dari kanan) menunjukkan beras 5kg yang dijual pada harga RM15 menjadi tumpuan orang ramai sempena Program Jualan Rahmah di IPD Manjung pada Rabu.
Mohamed Nordin (dua dari kanan) menunjukkan beras 5kg yang dijual pada harga RM15 menjadi tumpuan orang ramai sempena Program Jualan Rahmah di IPD Manjung pada Rabu.

Hadir sama pada program tersebut, Ketua Bahagian Penguat Kuasa KPDN Cawangan Manjung, Wan Muhammad Badro Wan Mahmood.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Nordin berkata, penglibatan Perkep IPD Manjung juga memeriahkan penganjuran program selain membantu mereka mempromosikan produk masing-masing.

Menurutnya, ramai dalam kalangan ahli Perkep yang berbakat dan berkemahiran dengan menghasilkan produk sebagai menambah pendapatan keluarga.

Jelasnya, melihat kepada sambutan yang sangat menggalakkan, program berkenaan dijangka diteruskan pada tahun hadapan dengan beberapa kelainan bersempena Tahun Melawat Perak 2024.

Sementara itu, Wan Muhammad Badro berkata, pihaknya sangat mengalu-alukan kerjasama seumpamanya tambahan pula ia mendapatkan sambutan menggalakkan daripada masyarakat setempat.

"Program Jualan Rahmah di dalam pekarangan IPD Manjung ini merupakan pertama seumpamanya dianjurkan dalam kawasan premis polis. Ini merupakan kali kedua kami bekerjasama dengan IPD Manjung.

Mohamed Nordin (tiga dari kiri) dan Wan Muhammad Badro (tiga dari kanan) bersama ahli Perkep serta orang ramai yang hadir ke Program Jualan Rahmah di IPD Manjung pada Rabu.
Mohamed Nordin (tiga dari kiri) dan Wan Muhammad Badro (tiga dari kanan) bersama ahli Perkep serta orang ramai yang hadir ke Program Jualan Rahmah di IPD Manjung pada Rabu.

"Berbanding program kali pertama, kali ini jumlah barangan lebih banyak dengan nilai keseluruhan yang disediakan pembekal kira-kira RM100,000 berbanding RM70,000 sebelum ini," katanya.

Jelas Wan Muhammad Badro, pihaknya tidak ada masalah untuk meneruskan kerjasama berkenaan demi membantu meringankan beban rakyat.

Pada program tersebut, beras 5kg dan minyak masak 2kg antara yang mencuri tumpuan apabila masing-masing dijual dengan harga RM15 dan RM11.

Selain itu, turut dijual barang-barang keperluan lain seperti ayam segar, ikan, sotong, telur ayam dan sebagainya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!