Covid-19: Kes aktif varian Omicron bergejala ringan
KUALA LUMPUR - Jangkitan Covid-19 oleh varian Omicron setakat ini tidak ganas dan kebanyakan kes aktif bergejala ringan, menurut Pakar Perubatan Kesihatan Awam Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Tan Seok Hong.
Beliau berkata, kes Covid-19 dijangka berkurangan selepas satu bulan berdasarkan pemerhatian trend jangkitan virus oleh KKM.
"Walaupun kes boleh meningkat lagi dalam masa terdekat, tapi dalam empat hingga enam minggu akan turun.
"Sebelum ini pernah berlaku peningkatan kes tapi berdasarkan pemerhatian, kes akan turun selepas satu bulan,” katanya ketika menjadi tetamu program Jendela Fikir ‘Covid-19: Lindungi Golongan Berisiko Tinggi’ terbitan Bernama Radio pada Rabu.
Beliau turut menasihati orang ramai supaya mengambil langkah berjaga-jaga ketika musim cuti persekolahan dan perayaan ini.
Katanya, individu yang positif Covid-19 dan sedang menjalani kuarantin kendiri tidak perlu menyambung pengasingan selepas hari kelima walaupun ujian keputusan masih positif dan menurutnya KKM akan mengeluarkan garis panduan berkenaan dos penggalak ketiga dalam masa terdekat.
"KKM akan mengeluarkan garis panduan berkenaan dos penggalak ketiga tidak lama lagi.
"Buat masa ini, ambil langkah berjaga-jaga yang telah diterangkan sehingga panduan diberikan tentang dos penggalak,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!