Dasar Pandang Ke Timur termasuk China langkah bijak, wajar - Huazong
KUALA LUMPUR - Dasar Pandang Ke Timur Malaysia yang termasuk China adalah satu langkah yang bijak dan wajar memandangkan kebangkitan pesat ekonomi kedua terbesar dunia itu, kata Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Huazong).
"Sudah tiba masanya untuk kita memperhalusi dan mengembangkan lagi (dasar itu)," kata Presidennya, Tan Sri Goh Tian Chuan.
Dasar yang sama dengan Jepun sebagai contoh teladan pertama kali diperkenalkan 41 tahun lalu oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammed pada 1982.
Tian Chuan berkata, dengan pertumbuhan pesat ekonomi China sejak beberapa dekad lalu yang menyaksikan negara itu mengatasi Jepun sebagai ekonomi kedua terbesar dunia 13 tahun lalu, sudah kena pada masanya untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memasukkan China ke dalam Dasar Pandang Ke Timur Malaysia.
"Ini amat sesuai, kerana China mengatasi Jepun sebagai ekonomi kedua terbesar dunia sejak 13 tahun lalu dengan Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai ekonomi terbesar dunia.
"Justeru, bagi mana-mana negara (termasuk Malaysia) untuk mengabaikan kehebatan kuasa ekonomi China adalah satu tindakan diplomatik yang tidak bijak dan tidak berdaya maju dari segi ekonomi," katanya ketika dihubungi Bernama.
Malaysia merupakan negara Asean pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan China pada 1974 dan akan menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik dengan negara itu pada tahun depan.
Justeru, Tian Chuan menekankan bahawa ia adalah masa yang sesuai untuk Anwar mengemukakan idea itu.
Anwar, yang juga merupakan Menteri Kewangan menerusi temu bual bersama akhbar Asahi Shimbun di Tokyo pada 17 Disember lepas berkata bahawa Malaysia, yang telah lama memandang Jepun dan Korea Selatan sebagai model pembangunan ekonomi, kini turut berminat untuk belajar dari China.
"Saya tidak akan mengatakan ‘Timur’ (dalam dasar ini) bermakna Jepun dan Korea Selatan tanpa China. Sekarang, apabila kita sebut ‘Pandang ke Timur,’ ia adalah Timur (yang termasuk China)”, Anwar dipetik sebagai berkata oleh akhbar Jepun itu.
Era Anwar
Tian Chuan berkata, sejak Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia pada November 2022, beliau telah melakukan dua lawatan rasmi ke China pada tahun ini sahaja dan berjaya membawa masuk pelbagai teknologi termaju China dan pelabur yang kukuh dari segi kewangan untuk membuka operasi dan bekerjasama dengan perniagaan Malaysia.
"Saya amat percaya bahawa dengan perkongsian strategik yang kukuh dan stabil dalam era Anwar, hubungan diplomatik antara Malaysia dan China akan berada di kemuncaknya," katanya.
Menurut Tian Chuan, lebih ramai pelabur China dijangka melabur di Malaysia berikutan peralihan positif dalam pendirian kerajaan sekarang terhadap pelaburan China, ditambah dengan hubungan dua hala yang lebih erat di bawah kepimpinan Anwar.
Perdagangan dua hala Malaysia-China mencecah rekod tertinggi sebanyak AS$203.6 bilion (AS$1= RM4.657) pada 2022.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2023, perdagangan dengan China berjumlah RM410.01 bilion, dengan eksport sebanyak RM174.55 bilion, terdiri terutamanya daripada produk elektronik dan elektrik (E&E), minyak sawit dan produk pertanian berasaskan minyak sawit serta produk besi dan keluli.
Tian Chuan berkata, pada masa depan Malaysia boleh meningkatkan kerjasamanya dengan China dalam bidang teknologi termaju, seperti aeroangkasa, automotif, keretapi berkelajuan tinggi, kecerdasan buatan, teknologi dron, e-dagang, logistik dan pembungkusan serta teknologi alam sekitar.
"Sektor lain yang berbaloi untuk menjalin kerjasama termasuklah dalam pendidikan tinggi, sumber manusia, budaya dan pelancongan, yang boleh meningkatkan lagi perdagangan dua hala dan hubungan sosial antara Malaysia dan China," katanya.
Beliau berkata, sektor perniagaan Malaysia berharap kerajaan akan dapat terus mengukuhkan lagi hubungan diplomatik dengan China. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!