Tawar khidmat seks kepada polis, wanita Thailand didenda RM1,500

Seorang wanita Thailand didenda RM1,500 kerana menawarkan khidmat seks kepada anggota polis, minggu lepas.
Seorang wanita Thailand didenda RM1,500 kerana menawarkan khidmat seks kepada anggota polis, minggu lepas.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang wanita warga Thailand didenda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana menawarkan khidmat seks kepada seorang anggota polis, minggu lepas.

Majistret Illi Marisqa Khalizan menjatuhkan hukuman itu selepas Miss Nipaporn Pharaphong, 24, mengaku bersalah menawarkan khidmat seks itu kepada anggota polis berkenaan dengan bayaran RM100 bagi sekali perkhidmatan seks di dalam bilik sebuah hotel di Jalan Imbi di sini pada 10.30 malam, 14 Disember lepas.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara sebulan sekiranya gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Zuhairi Osman memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh, namun peguam Khairunnisa Azzahrah Ghazalie, mewakili tertuduh memohon denda ringan kerana anak guamnya tidak bekerja. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!