PERKESO selesai salur RM325 juta bayaran faedah berkala

Mohammed Azman
Mohammed Azman
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) selesai menyalurkan bayaran faedah berkala sebanyak RM325 juta kepada 573,000 penerima bermula semalam.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pembayaran tersebut turut merangkumi pencen ilat, faedah orang tanggungan, pencen penakat dan faedah hilang upaya kekal.

“Setakat ini perkembangan pembayaran jangka panjang bagi semua faedah berkenaan masih menepati jadual yang ditetapkan.

“Bayaran faedah berkala ini penting sebagai talian hayat kepada anak yatim, ibu tunggal dan individu terlibat dengan bencana ketika bekerja di seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada 2 Disember lalu, PERKESO memberi jaminan sistem, pangkalan maklumat dan laman sesawang agensi itu yang diserang penggodam tidak akan merencatkan khidmat kepada pencarum, majikan serta orang ramai.

Pertubuhan itu memaklumkan segala pembayaran faedah, pampasan dan pencen ilat kepada pencarum serta waris terlibat akan tetap dilaksanakan mengikut tempoh yang diperuntukkan.

Susulan insiden itu, kerajaan sedang memperkukuhkan keselamatan siber di negara ini bagi mengelak berlakunya insiden serangan siber.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Majlis Keselamatan Negara (MKN) bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menjalinkan kerjasama dengan syarikat yang mempunyai keupayaan untuk mengekang kejadian itu daripada terus berlaku di masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Mohammed Azman berkata, rentetan serangan siber yang berlaku sebelum ini, mereka akan memastikan kehidupan pencarum dan waris tidak akan terjejas.

Jelasnya, semua sistem dan teras agensi itu sudah beroperasi seperti sediakala dengan langkah penambahbaikan khususnya daripada segi aspek keselamatan.

“Ini adalah tanggungjawab yang diutamakan oleh PERKESO bagi memastikan kelangsungan hidup pencarum dan waris tidak terjejas,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!