Tanah runtuh Puchong: Pemasangan cerucuk besi dijangka siap empat hari
PUCHONG - Kerja-kerja pemasangan cerucuk besi bagi mengawal pergerakan tanah di kawasan tanah runtuh di Jalan Wawasan, Taman Wawasan, di sini, dijangka siap dalam tempoh tiga ke empat hari lagi.
Yang Dipertua Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, setakat hari ini sebanyak 121 daripada 375 cerucuk telah selesai ditanam.
"Lepas kerja pemasangan cerucuk besi selesai, proses pemulihan tebing kepada (struktur) asal akan dibuat, sebelum diteruskan kemudiannya dengan kerja-kerja menurap jalan, ” katanya kepada Bernama di Pos Kawalan Tempat Kejadian di sini pada Rabu.
Beliau berkata, pada masa ini, punca kejadian tanah runtuh di kawasan itu masih lagi dalam siasatan Jabatan Mineral dan Geosains.
Sementara itu, tinjauan Bernama di lokasi mendapati beberapa anggota polis dan bomba masih membuat pemantauan berkala di lokasi tanah runtuh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!