19 NGO sokong kerajaan sekat kapal Israel berlabuh di Malaysia
SHAH ALAM - Sebanyak 19 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menyokong tindakan kerajaan menyekat kapal Zim Shipping milik Israel untuk berlabuh di negara ini.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, mereka turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ekoran ketegasan yang disuarakan.
"Cara paling berkesan untuk menyekat kezaliman Israel ialah dengan melakukan boikot dan sekatan terhadap Israel.
"Dengan cara itu kita akan dapat melemahkan ekonomi Israel, sekali gus melemahkan keupayaan rejim Zionis Israel terus menganiaya warga Palestin," kata mereka.
NGO terlibat antaranya Persatuan Cinta Gaza Malaysia (CGM), Muslim Care Malaysia, Muslim Volunteer Malaysia dan Viva Palestina Malaysia.
Sebelum ini Anwar mengumumkan syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, menggunakan bendera negara itu atau kapal dalam perjalanan menuju ke sana dilarang berlabuh atau memuatkan kargo di mana-mana pelabuhan negara ini berkuat kuasa serta-merta.
Perdana Menteri menegaskan, sekatan itu sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian serta kekejaman berterusan ke atas rakyat Palestin.
@sinarharianonline 19 NGO sokong kerajaan sekat kapal Israel berlabuh di Malaysia. #SinarHarian#SinarTerkini#beritaditiktok#fyp ##Israel#NGO Inspiring, Uplifting and Motivational Corporate(1311945) - studio s.mount
Dalam pada itu kumpulan NGO berkenaan berharap usaha gerakan boikot antarabangsa iaitu Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) berjaya membantu Palestin mendapatkan hak sepenuhnya di bawah undang-undang antarabangsa, sekali gus bebas dari cengkaman rejim Zionis.
"Israel sebuah negara aparteid zalim yang sedang melakukan jenayah genosid terhadap warga Palestin.
"Dunia telah menyaksikan bagaimana dalam tempoh dua bulan mereka telah membunuh lebih 20,000 warga Palestin di Gaza dan Tebing Barat dengan hampir 70 peratus wanita serta kanak-kanak terkorban.
"Sukutu utamanya, Amerika Syarikat dan beberapa negara Eropah pula bukan sahaja membenarkan jenayah yang dilakukan, malah memberi bekalan senjata untuk Israel terus melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap warga Palestin," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!