Covid-19: KKM galak golongan berisiko tinggi divaksin
SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggalakkan pengambilan vaksin Covid-19 terutamanya kepada golongan berisiko tinggi seperti warga emas atau individu yang mempunyai komorbiditi.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad bagaimanapun menegaskan, pengambilan vaksin tersebut pada masa ini adalah secara sukarela.
Menurutnya, orang ramai boleh mendapatkan suntikan itu di mana-mana 234 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di klinik kesihatan di seluruh negara.
"Senarai PPV boleh didapati melalui aplikasi digital, MySejahtera.
"Sekiranya terdapat pertambahan atau perubahan terhadap bilangan PPV, KKM akan mengemas kini maklumat tersebut dari masa ke masa.
"Vaksin Covid-19 yang tersedia di negara ini berkesan untuk melindungi diri daripada komplikasi yang teruk sekiranya dijangkiti," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sinar Harian pada Isnin melaporkan, KKM memberi kemudahan kepada orang ramai untuk mengambil dos penggalak ketiga vaksin Covid-19 secara ‘walk-in’.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, prosedur pengambilan vaksin itu juga boleh dilakukan secara janji temu menerusi MySejahtera.
Dalam pada itu, tambah Dzulkefly, orang ramai disaran mengamalkan 3W iaitu iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun; memakai pelitup muka serta mematuhi amaran KKM yang berkonsep peringatan.
"Elakkan juga 3S, iaitu kawasan sesak dan sempit serta berbual pada jarak dekat." katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!