KPDN 'serbu' restoran jual sotong manis RM50 seekor

Laporan Sinar Harian.
Laporan Sinar Harian.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pasukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sabah memeriksa sebuah restoran yang didakwa mengenakan caj harga sotong tidak munasabah kepada pelanggan seperti yang ditularkan di media sosial.

Timbalan Pengarah KPDN Sabah, Zulfamy Mat Udi berkata, sepasukan penguat kuasa KPDN telah ke premis berkenaan untuk membuat pemeriksaan.

"Antara tindakan yang dilakukan ialah memeriksa penandaan harga dan menyerahkan notis bertulis untuk premis menyatakan setiap kos yang terlibat sehingga harga tersebut ditawarkan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu tular berkenaan sekiranya laporan telah diterima dan tindakan daripada pihak KPDN Sabah.

Zulfamy berkata, beliau ketika ini masih menunggu laporan daripada pasukannya.

"Kenyataan media akan dikeluarkan nanti," katanya.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan seorang pengguna Facebook meminta orang ramai berhati-hati menjamu selera di sebuah restoran di pusat bandar Kota Kinabalu selepas dikenakan bayaran RM50 untuk seekor sotong dalam hidangannya.

Dalam hantaran di media sosial itu turut disertakan gambar sepinggan nasi berlaukkan sotong manis dan sayur bersama resit dengan jumlah keseluruhan makanan bernilai RM75.

Artikel Berkaitan:

Hantarannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada warganet yang terkejut dengan harga sotong manis yang tertera pada resit tersebut.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!