Mangsa banjir di empat negeri berkurangan kepada 3,268 orang

Operasi memindahkan penduduk di Kampung Garinono, Batu 25, Jalan Labuk, Sandakan segera dilakukan oleh anggota bomba selepas rumah mereka ditenggelami banjir pada Selasa.
Operasi memindahkan penduduk di Kampung Garinono, Batu 25, Jalan Labuk, Sandakan segera dilakukan oleh anggota bomba selepas rumah mereka ditenggelami banjir pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah mangsa banjir di Kelantan, Perak, Selangor dan Sabah semakin berkurangan dengan 3,268 mangsa ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) pada Rabu berbanding 4,336 mangsa pada Selasa.

Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri (NADMA) (JPM) dalam satu kenyataan memaklumkan ia melibatkan 1,007 keluarga yang ditempatkan di 13 PPS.

Menurut kenyataan itu, tiga daerah yang paling teruk terjejas adalah Pasir Mas, Kelantan (3,162 mangsa), Hilir Perak, Perak (64 mangsa) dan Kuala Selangor, Selangor (25 mangsa).

"Dalam pada itu hanya satu kematian akibat banjir melibatkan seorang kanak-kanak lelaki berlaku di Kota Bharu, Kelantan pada 26 November 2023 direkodkan setakat ini," katanya pada Rabu.

Sebelum itu, bagi tempoh 11 November hingga 20 Disember 2023, secara kumulatif seramai 7,196 keluarga dan 24,603 mangsa telah ditempatkan di PPS.

Sepuluh institusi pendidikan masih dijadikan PPS yang melibatkan lapan sekolah rendah dan dua sekolah menengah di Kelantan, Selangor dan Sabah.

Pada masa yang sama kenyataan turut memaklumkan, penumpuan angin dijangka berlaku di Sabah sehingga 21 Disember 2023 (Khamis) yang berpotensi menghasilkan ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh yang lebih panjang.

"Sementara itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam.

Artikel Berkaitan:

"Tiada amaran banjir yang dikeluarkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) buat masa ini, namun terdapat satu sungai, iaitu Sungai Golok di Rantau Panjang, Kelantan yang masih mencatatkan kenaikan air aras bahaya," katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, berdasarkan rekod kawasan hotspot dan cerun kritikal Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), tiada kawasan yang berisiko mengalami tanah runtuh di daerah yang sedang dilanda banjir.

"Terdapat tujuh kejadian tanah runtuh di seluruh Malaysia direkodkan sehingga 17 Disember 2023, iaitu empat di Pahang, dua di Selangor dan satu di Sarawak," katanya.

Sementara itu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada Selasa telah mengemaskini amaran hujan dijangka berterusan peringkat waspada yang melibatkan beberapa daerah di negeri Pahang dan Johor sehingga Khamis.

"Amaran hujan berterusan peringkat waspada juga telah dikeluarkan untuk seluruh daerah di Kelantan an Terengganu serta beberapa daerah di negeri Pahang mulai 21 hingga 25 Disember 2023.

"Tiga stesen meteorologi utama yang mencatatkan jumlah hujan harian tertinggi pada 19 Disember 2023 adalah Mersing, Johor (60.4mm), Sri Aman, Sarawak (50.8 mm) dan Sandakan, Sabah (48.4 mm)," katanya.

MetMalaysia memaklumkan, berdasarkan analisis model-model cuaca, luruan monsun dijangka berlaku sehingga 25 Disember 2023 yang berpotensi membawa hujan berterusan di timur Semenanjung serta angin kencang dan laut bergelora di Laut China Selatan dalam tempoh berkenaan.

Dalam pada itu, di negeri-negeri lain, ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang berpotensi berlaku pada sebelah petang hingga ke malam.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!