Sekat kapal isyarat jelas Malaysia tak sekongkol bantu ekonomi Israel

Fahmi ketika bertemu pengamal media selepas Program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia 2023 anjuran Finas di Kementerian Komunikasi pada Rabu. - Foto Bernama
Fahmi ketika bertemu pengamal media selepas Program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia 2023 anjuran Finas di Kementerian Komunikasi pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Keputusan kerajaan melarang kapal Israel berlabuh di Malaysia memberi isyarat jelas bahawa negara ini tidak mengiktiraf rejim Zionis itu dan tidak akan bersekongkol dalam usaha membantunya dari segi ekonomi, kata Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Program Spotlight: Apresiasi Sinema Malaysia Tahun 2023 di sini, jurucakap kerajaan itu berkata, keputusan tersebut adalah selari dengan dasar kerajaan selama ini yang memberi penegasan mengenai beberapa isu melibatkan Israel.

Beliau berkata, langkah kerajaan membatalkan keputusan terdahulu pada 2002 dan 2005 yang membenarkan ZIM iaitu syarikat perkapalan berpangkalan di Israel berlabuh serta mendarat di Malaysia dengan serta-merta menunjukkan keutamaan negara dalam memperjuang nasib penduduk Gaza.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berkuat kuasa serta-merta, syarikat perkapalan berpangkalan di Israel, kapal yang menggunakan bendera rejim Zionis serta kapal dalam perjalanan ke negara itu dilarang berlabuh atau memuatkan kargo di mana-mana pelabuhan Malaysia.

Perdana Menteri berkata, sekatan itu adalah tindak balas terhadap perbuatan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan serta melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.

Fahmi juga berkata, sekatan itu dijangka tidak menjejaskan operasi dari segi perkapalan dan penggunaan pelabuhan.

"Saya tidak ada angka spesifik berapa peratus daripada syarikat yang berlabuh di pelabuhan kita destinasinya ke Israel tetapi saya percaya jumlahnya tidak terlalu besar," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!