Poligami dan fitrah kemanusiaan

A
A
A

RAMAI yang kritik poligami seolah-olah monogami adalah syurga dan poligami pula adalah neraka, khususnya bagi wanita.

Baru-baru ini isu Aura 19 sangat panas kerana ia berkait dengan seorang juara realiti program TV dalam bidang dakwah.

Poligami telah diserang sekali lagi kerana isu itu. Penulis bertanya mengapa tidak monogami juga dipersoalkan? Bukankah da'i Aura 19 itu akhirnya bermonogami setelah ceraikan isteri pertama?

Seorang pakar psikologi rumahtangga iaitu Dr Esther Perel berkata, definisi monogami zaman sekarang telah berubah. Dulu, monogami didefinisikan sebagai one forever (satu selamanya).

Tetapi sekarang monogami adalah didefinisikan sebagai one at a time (satu dalam satu tempoh).

Kalau dulu, monogami maknanya seorang lelaki beristeri hanya seorang sampai mati. Sekarang, seorang lelaki berkahwin seorang untuk satu tempoh.

Selepas itu, bercerai. Lalu berkahwin seorang lagi untuk tempoh kedua. Selepas itu, bercerai lagi.

Lalu berkahwin seorang lagi yang lain untuk tempoh ketiga. Lelaki itu sudah berkahwin tiga wanita tetapi tetap dianggap monogamis kerana dia hanya memiliki seorang isteri dalam satu tempoh.

Artikel Berkaitan:

Kadar perceraian begitu teruk sehingga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menyediakan kaunter fast track cerai.

Purata perceraian ialah tiga hingga lima perceraian dalam sejam. Perceraian menjadi budaya tidak kira monogami atau poligami.

Ramai ambil berat bila perceraian berlaku dalam poligami. Lalu dikutuk poligami habis-habisan.

Tetapi bila perceraian berlaku dalam monogami, ia dianggap perkara biasa.

Monogami tetap tidak bersalah dan merupakan perkahwinan paling ideal dan menjanjikan syurga dunia yang berkekalan.

Benarkah monogami itu begitu indah dan poligami begitu neraka? Hakikatnya ialah setiap lelaki poligamis adalah pada asalnya monogamis.

Da'i Aura 19 bermula sebagai monogamis iaitu memiliki seorang isteri sahaja.

Mengapa tiada yang terfikir bahawa monogamilah punca berlaku poligami? Kalau pasangan poligamis bercerai dan akhirnya terjatuh ke kancah monogami semula, poligami disalahkan.

Tetapi mengapa lelaki monogamis akhirnya terjatuh ke kancah poligami, tidak pula monogami disalahkan?

Gatal miang

Mengapa tidak tanya soalan ini: Apakah masalah monogami sehingga berlakunya poligami dengan meluas? Respons biasanya ialah suami gatal miang tak terkawal!

Pakar psikologi, Dr David Barash telah menulis sebuah buku bertajuk The Myth of Monogamy (Mitos Monogami). Dalam buku itu, beliau mendapati melalui kajian sains bahawa monogami adalah bukan fitrah semulajadi manusia. Sebenarnya poligami adalah fitrah.

Menurut Dr David Barash, monogami sebenarnya adalah berlawanan dengan fitrah kemanusiaan. Kalau anda rasa sukar untuk setia pada seorang, itu adalah fitrah semulajadi.

Dalam al-Quran disebut lelaki diharuskan kahwin dua, tiga atau empat.

Kalau takut tidak adil, barulah kahwin seorang sahaja. Di sini, angka dua disebut dulu. Al-Quran tidak mulakan dengan angka satu. Ini mungkin membuktikan kebenaran penyelidikan Dr David Barash.

Beban monogami adalah kesetiaan. Dr David Barash berharap manusia berusaha untuk memikul beban itu walaupun ia sukar.

Mazhab Mormon Kristian di Utah, Amerika Syarikat menerbitkan program TV bersiri bertajuk Sister Wives. Program realiti itu meletup kerana menggambarkan kebahagiaan keluarga-keluarga berpoligami.

Pernah kerajaan Amerika ingin menangkap suami Mormon yang berpoligami. Poligami dianggap salah di sisi undang-undang sana. Tetapi wanita Mormon berjuang membela poligami.

Amat memalukan bila wanita Mormon Kristian Amerika membela, bahkan menggalakkan poligami tetapi kita sebagai Muslimin menentang dengan penuh prejudis dan bias.

Kedua-dua monogami dan poligami pernah diamalkan oleh Nabi SAW. Kedua-dua ada pro dan kontra. Berlapanglah dada dalam perbincangan.

* Xifu Naser Tun Rahman ialah Pensyarah UIAM Pemikiran Kritis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!