TMJ cabar Selangor pecahkan rekod JDT
PEMILIK Kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencabar Selangor FC supaya cuba memecahkan rekod yang telah dicipta Harimau Selatan.
Menurut Tunku Ismail, kerajaan Selangor telah membantu skuad Gergasi Merah selama lapan tahun menerusi peruntukan yang disediakan, namun pasukan itu masih buntu untuk menggenggam sebarang piala.
"Tolonglah 'break record' ini. Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) orang Selangor, Exco majoriti termasuk Datuk Shahril orang Selangor dan dalam FAS.
"Ketua pengadil, Dato Sundra orang Selangor, CEO MFL (Liga Bola Sepak Malaysia) Dato Stuart orang Selangor. Raja Muda Selangor 45 juta setahun Kerajaan Selangor bantu dah lapan tahun masih tiada piala.
"Layak ke Asia pun kerana JDT menang semua Piala. Kalau tak, tak merasa," katanya menerusi InstaStory miliknya pada Rabu.
Sebelum ini, JDT meluaskan penguasaan mereka dalam saingan Liga Malaysia apabila meraih double quadruple selepas mengulangi kejayaan muncul juara Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.
Skuad Harimau Selatan itu menamatkan saingan Liga Super 2023 dengan 76 mata hasil 25 kemenangan, seri sekali selain mengekalkan rekod tanpa kalah dalam 26 perlawanan yang diharungi.
JDT turut mencipta sejarah tersendiri apabila merekodkan 100 jaringan semusim dan hanya dibolosi tujuh kali dalam saingan Liga Super 2023.
Tunku Ismail juga menasihatkan supaya Selangor fokus kepada kelab sendiri, tidak membuat perbandingan selain tidak menuduh sambil lewa.
"Kami dah terlampau jauh dengan rekod yang kami pecahkan dan mencipta rekod yang baru. Ingatlah wahai sahabatku, ALLAH sentiasa membantu dan berkati orang atau pihak yang benar.
"Rezeki yang dikurniakan ini bukan secara kebetulan tetapi telah dirancang oleh yang Maha Esa. When you have good intention, you are always Blessed," katanya.
Terdahulu, dalam satu komen berasingan di laman Instagram, Tunku Ismail turut mendakwa bertanggungjawab mencadangkan nama nama Tan Cheng Hoe selaku pengendali pasukan itu.
"Tan Cheng Hoe pun siapa yang 'recommend' masa perjumpaan di Hotel Hyatt KL? Manusia ni cepat lupa. Kadang kala dalam hidup ni jangan segan nak ucap terima kasih.
"Selamat malam keluarga JDT ku. Raja bola sepak zaman profesional," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!