Suami isteri meninggal dunia selang dua jam

Mohamad dan Norazizah menghembuskan nafas terakhir selang dua jam pada awal pagi Rabu.
Mohamad dan Norazizah menghembuskan nafas terakhir selang dua jam pada awal pagi Rabu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Pasangan suami isteri, Mohamad Basar, 60, dan Norazizah Jasri, 60, dari Felda Air Tawar 4 di sini, membuktikan cinta sejati mereka sehingga ke akhir hayat apabila kedua-duanya menghembuskan nafas terakhir hanya selang dua jam pada awal pagi Rabu.

Difahamkan pasangan suami isteri berkenaan tidak dikurniakan anak dan hanya tinggal berdua.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, Norazizah dimasukkan ke Hospital Kota Tinggi (HKT) sejak Isnin untuk menerima rawatan akibat jangkitan paru-paru.

Bagaimanapun katanya, Norazizah disahkan meninggal dunia di wad akibat kegagalan fungsi organ dalaman pada jam 3 pagi, Rabu.

"Sekitar jam 4 pagi Rabu, jiran-jiran telah pergi ke rumah pasangan berkenaan bagi memaklumkan berita kematian Norazizah kepada Mohamad.

"Bagaimanapun, mereka pula yang menemuinya dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang bilik solat di rumah tersebut," katanya.

Menurut Hussin, melihatkan keadaan tersebut, jiran-jiran telah bertindak menghantar Mohamad ke HKT untuk menerima rawatan lanjut.

Bagaimanapun, lelaki itu disahkan meninggal dunia sekitar jam 5 pagi dan punca kematiannya adalah akibat angin ahmar.

Artikel Berkaitan:

Jenazah kedua-dua pasangan tersebut telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Felda Air Tawar 4 sekitar jam 11.30 pagi, Rabu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!