KPDN Perak catat nilai rampasan lebih RM6 juta
IPOH - Kementerian Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menghasilkan sebanyak 943 kes dengan nilai rampasan bernilai RM6.21 juta sepanjang tahun 2023.
Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail berkata, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak 203 peratus berbanding tahun lalu hanya berjumlah RM2.05 juta.
Menurutnya, sepanjang tahun ini juga, sebanyak 70,036 pemeriksaan di kawasan bandar dan luar bandar telah dilaksanakan.
"Pasukan Penguatkuasa KPDN Perak telah meningkatkan ketelusan dan kecekapan dalam menyelesaikan aduan pengguna dengan lebih cepat dan berkesan.
"Ini tidak hanya memberikan keadilan kepada pengguna yang terjejas, tetapi juga memperkukuhkan keyakinan masyarakat terhadap ketelusan proses penguatkuasaan," katanya ketika berucap sempena Majlis Apresiasi Pengguna 2023 KPDN Perak di Dewan Kenanga Bangunan Persekutuan di sini pada malam Rabu.
Kamalludin berkata, pencapaian ini turut disumbangkan oleh kejayaan Ops Tiris iaitu operasi membenteras penyelewengan diesel bersubsidi.
Menurutnya, nilai kompaun yang dikenakan tahun ini juga meningkat 55.5 peratus iaitu RM824,850 berbanding RM530,300 pada tahun lalu.
"Penguatkuasa KPDN Perak juga telah berjaya menangani isu-isu penjualan barangan tiruan dan ketirisan barang kawalan bersubsidi di negeri Perak.
"Usaha ini bukan sahaja bagi melindungi hak-hak pengguna, tetapi juga membina ekosistem perdagangan yang lebih jujur dan adil," katanya.
Dalam pada itu, Kamalludin berkata, sehingga kini KPDN Perak telah berjaya melaksanakan sebanyak 508 Program Jualan Rahmah dengan jumlah kehadiran pengunjung seramai 748,584 orang di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini.
Menurutnya, kejayaan itu merupakan satu pencapaian yang besar bagi KPDN Perak kerana Program Jualan Rahmah membantu rakyat khususnya golongan B40 meringankan kos pembelian barang keperluan harian mereka.
Katanya, sebanyak 186 pengusaha restoran dan kedai makan di negeri ini telah berdaftar dengan KPDN bagi menyediakan Menu Rahmah di premis mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!