Usaha sekat kapal Israel bukti ketegasan Malaysia
USAHA negara dalam memperjuangkan semangat menentang kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin sekali lagi menunjukkan ketegasan yang berterusan apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan tindakan sekatan dilakukan terhadap rejim Zionis itu.
Pada Rabu, Anwar yang juga Menteri Kewangan itu berkata, syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM disekat dan tidak dibenar berlabuh di mana-mana pelabuhan Malaysia berkuat kuasa serta-merta.
Tegas beliau, sekatan itu adalah tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengetepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.
Pastinya usaha tersebut mendapat respon positif dalam kalangan rakyat Malaysia malah tidak terkecuali dari masyarakat negara-negara luar.
Pada Rabu, berita mengenai sekatan tersebut mula disiarkan oleh beberapa media antarabangsa antaranya Al-Arabiya English, Al-Jazeera English dan CNN International sejak petang.
Menerusi ruangan komen di media sosial syarikat media berkenaan, rata-rata netizen memuji langkah yang diambil oleh kerajaan Malaysia dalam usaha menentang perbuatan kejam rejim Zionis terhadap penduduk di wilayah Gaza.
Langkah yang dilakukan oleh kerajaan Malaysia itu sudah pasti memberi contoh dan inspirasi kepada negara-negara lain yang turut menentang kekejaman rejim Israel.
Sudah tentu, apa yang jadi perhatian sekarang ini adalah bagaimana langkah kerajaan seterusnya dalam memastikan penguatkuasaan dapat diperketatkan.
Usaha yang berterusan ini sudah tentu juga akan menjadi lebih kuat sekiranya ia menjadi ikutan oleh negara-negara lain yang tidak sehaluan dengan Israel.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!