'Padam identiti penduduk Kashmir, jangan mimpi di siang hari'
ISLAMABAD - Perdana Menteri Pakistan, Imran Khan berkata, rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi bermimpi di siang hari apabila berhasrat untuk memadam identiti penduduk Islam di Kashmir.
Menurut Khan, beliau akan memastikan cita-cita Modi tidak menjadi kenyataan sambil menambah kerajaan dan rakyat Pakistan akan terus membantu penduduk di wilayah bergolak itu.
"Agenda Modi berdasarkan Rashtriya Swayamsevak Singh dan Hindutava yang bukan sahaja menghapuskan identiti orang Kashmir tetapi jutaan umat Islam yang tinggal di India.
"Pakistan akan membantu penduduk Kashmir melitupi segenap aspek termasuk politik, moral dan diplomatik," katanya.
Pada Ogos lalu, kerajaan India tergesa-gesa untuk menghapuskan status khas Kashmir menerusi dekri presiden sekali gus mengetatkan cengkaman New Delhi ke atas wilayah yang didiami majoriti orang Islam itu.
Pakistan menganggap pemansuhan Artikel 370 itu adalah tidak sah dan tidak berperlembagaan yang menyaksikan pendudukan di Jammu dan Kashmir.
Islamabad turut menuduh Modi cuba merampas wilayah tersebut dengan mengubah statusnya supaya pihak luar tidak mempunyai hak untuk membeli hartanah atau mendapatkan pekerjaan di Kashmir.
New Delhi turut dilihat anti-Islam apabila memperkenalkan Akta Pindaan Kewarganegaraan (CAA) yang memberi kewarganegaraan kepada golongan beragama Hindu Sikh, Buddha, Jains dan Kristian dari tiga negara jiran (Bangladesh, Afghanistan dan Pakistan) tetapi mengecualikan pendatang Muslim.
Tindakan itu hadir tidak lama selepas nama wilayah Allahabad di Uttar Pradesh secara rasminya ditukar kepada Prayagraj susulan rejim parti ekstremis Hindu, Bharatiya Janata (BJP) berkuasa. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!