'Mak, sini la kantin... Mak, ni padang sekolah...'
KUALA LUMPUR - Kebanyakan sesi orientasi tahun 1 melihat kegembiraan para ibu bapa membawa anak mereka menjejakkan kaki buat pertama kalinya ke sekolah.
Namun perkongsian seorang guru dari Sekolah Kebangsaan Perempuan (P) Jalan Batu di sini mencoret sisi berbeza apabila melihat seorang anak kecil lengkap memakai uniform sekolah memimpin kedua ibu bapanya dipercayai mengalami cacat penglihatan ketika hadir ke sekolah.
Lebih memilukan, guru dikenali Nadwa Nasir menceritakan murid tahun 1 itu juga gigih menulis nombor telefon ibu bapanya meskipun baru bertatih menulis.
Sejurus selesai sesi orientasi, murid berkenaan memimpin ibu ayahnya dan menunjukkan segala kemudahan sekolah termasuk kelasnya kepada mereka.
Walaupun memahami kedua ibu bapanya tidak mampu melihat tetapi kesungguhan murid itu menerangkan di mana lokasi padang sekolah, di mana lokasi kelasnya, kantin dekat mana membuatkan hati guru ini tersentuh.
"Mak, sini la kantin.. Mak, ni padang sekolah..."
"Mak dia tanya dia, mana pondok mak nak tunggu kamu nanti...?,"
"Dia jawab... "sini la mak... Kat sini..." (padahal depan dia je pondok tu.. Tapi si anak terangkan macam nampak je)," luahnya.
Melihat kekuatan pada diri murid itu, Nadwa turut mendoakan agar anak itu berjaya dunia dan akhirat.
Menyifatkan perkongsian itu cukup meruntun jiwa, netizen membanjiri ruang komen Facebook guru tersebut dengan kata-kata semangat dan mendoakan agar kehidupan adik itu dipermudahkan serta cemerlang dunia akhirat.
Kata Camy Nadia, "Selamat menempuh alam persekolah alaf baru yang penuh dengan godaan dan pancaroba agar adik tidak di pengaruhi gejala negatif dunia persekolahan zaman sekarang dik.. berlajarlah dengan penuh kesabaran dan keikhlasan di hati."
Suzana Abdul Rashid berkata, "Sangat tersentuh hati... ya moga kamu terus kuat."
Ujar Radzeli Mohd Ramli, "Sebenarnya ini lah murid yang telah berjaya walaupun belum memasuki alam persekolahan."
Tambah Nor Rahila, "Allahuakbar... Moga terus kuat adik.... Ya ALLAH... Engkau kurniakan lah kejayaan yang cemerlang buat adik ini agar dapat berbakti kepada ibu bapanya kelak... Amin."
Dalam pada itu, posting tersebut yang tular di laman sosial memperolehi 14,000 tanda suka, 2,000 dan 4,900 perkongsian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!