Rahim nafi terlibat usaha penjarakan Guan Eng
SHAH ALAM - Bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik menafikan beliau terlibat dalam usaha memasukkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ke dalam penjara pada 1997.
Guan Eng yang ketika itu Ahli Parlimen Kota Melaka dipenjara selama 18 bulan di bawah Akta Hasutan 1948 dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1948.
Hukuman itu dikenakan kerana menyuarakan perasaan tidak puas hati akan pelaksanaan keadilan di Malaysia susulan perbicaraan kes rogol gadis bawah umur melibatkan Abdul Rahim.
[ARTIKEL BERKAITAN: Khianat jika terima Rahim Thamby Chik]
Abdul Rahim yang juga bekas Naib Presiden Umno menegaskan, beliau tidak tahu tentang pendakwaan Guan Eng, dibicara dan dipenjarakan kerana melanggar undang-undang berkaitan.
"Saya tidak pernah buat laporan kepada polis dan saya tak berminat pada kes ini sebabnya sayalah sebenarnya yang jadi 'mangsa' konspirasi jahat bagi meranapkan kerjaya politik saya yang sedang bersinar terang dan amat dicemburui pada masa itu!," katanya dipetik menerusi laman sosial Facebook miliknya, semalam.
Kenyataan itu dibuat sebagai mengulas artikel disiarkan dalam portal berita Malaysiakini bertajuk 'Bersatu, reject the man who put LGE in jail', bulan lalu.
Abdul Rahim berkata, artikel itu seolah-olah menuduhnya bertanggungjawab memasukkan Guan Eng ke dalam penjara.
"Kalau bagitu, memang hebatlah RTC (Rahim Tamby Chik) yang digeruni sehingga boleh masukkan seorang Ahli Parlimen merengkuk ke dalam penjara di Sungai Buloh!," tulisnya.
Dalam pada itu, Abdul Rahim berkata, tuduhan yang dikaitkan dengan beliau sebelum ini disifatkan sebagai konspirasi politik.
"Hingga sekarang saya masih memiliki 'surat berkanun' dari gadis ini yang memohon maaf kepada saya kerana telah diperalatkan dan dieksploitasi secara politik," katanya.
Pada 16 Disember lalu, Abdul Rahim menyerahkan borang keahlian Bersatu pada satu majlis di Ayer Keroh, Melaka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!