Status Mitra, tunggu pengumuman PM
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan kedudukan Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (Mitra) sama ada kekal di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau sebaliknya.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) yang Pengerusi Mitra, Datuk R Ramanan berkata, status berhubung Mitra adalah di bawah budi bicara Perdana Menteri.
“Setakat ini Perdana Menteri belum buat pengumuman jadi sebagai pengerusi saya akan jalankan tugas seperti biasa.
“Memang beliau akan buat pengumuman dalam waktu terdekat, kita tunggulah,” katanya pada sidang akhbar selepas melakukan kunjungan hormat di Ibu Pejabat TEKUN Nasional di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai desas desus Mitra akan dikembalikan di bawah Kementerian Perpaduan Negara.
Turut hadir, Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif TEKUN Nasional, Datuk Adam Abd Ghani.
Mengulas lanjut mengenai perancangan perancangan 2024 TEKUN Nasional, beliau berkata, TEKUN berhasrat memberi ruang lebih luas kepada peserta dalam pembiayaan.
“Tahun depan sekitar RM1.15 bilion akan diperuntukkan untuk memberikan pembiayaan walaupun kita dapat RM330 juta tapi kita yakin dengan trend yang ada pada hari ini akan melepasi RM1 bilion.
“Setakat ini akan ada dua cawangan baharu di Sabah menjadikan keseluruhannya 173 cawagan Tekun di seluruh negara,” katanya.
Jelasnya, banyak kejayaan diraih hasil bantuan pembiayaan oleh TEKUN seperti kisah orang kurang upaya (OKU) mengusahakan bengkel kereta dan kedai gunting rambut berjaya menjadi jutawan.
“Jadi rakyat perlu mengambil peluang ini dapatkan bantuan dan khidmat nasihat daripada TEKUN dan kita bersedia untuk membantu,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!