Lebih 100 buku misteri, seram di Menara Kuantan 188
KUANTAN - Sebanyak 107 buku misteri dan seram pelbagai judul dipinjam secara berkelompok oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Sultan Ahmad Shah (PPASAS) Pahang kepada Menara Kuantan 188.
Pengarah PPASAS, Nor Zahira Muhammad Azmi berkata, kesemua naskhah terbabit ditempatkan di bilik misteri di dalam menara itu secara percuma.
Menurutnya, inisiatif edu-tourism terbabit sebagai satu tarikan baharu di samping menggalakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.
"Kita pilih genre kisah seram dan misteri itu kerana ia menjadi daya tarikan dan berunsurkan kejutan.
"Malah, ia mempunyai peminatnya tersendiri.
"Jadi, kita harap ia dapat membantu menggalakkan minat membaca dalam kalangan masyarakat, khususnya kanak-kanak dan dewasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di Manara Kuantan 188, di sini, pada Khamis.
Mou itu ditandatangani oleh Nor Zahira manakala Menara Kuantan 188 diwakili pengurus besarnya, Khalisa Azman.
Nor Zahira memaklumkan, program membaca tersebut diadakan bermula hari ini dan berakhir 1 Januari tahun depan
“Kita hendak menggalakkan anak-anak membaca di musim cuti sekolah ini.
"Di samping kita bercuti ada ilmunya yang diperoleh... itulah yang kita nak dalam edu-tourism ini,” ujarnya.
Sementara itu, Khalisa berterima kasih atas kerjasama diberikan PPASAS dalam usaha menggalakkan masyarakat minat membaca.
Beliau juga tidak menolak berhubung kerjasama jangka panjang antara dua pihak pada masa akan datang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!