Penunggang lari SJR, langgar polis mengaku tunggang motosikal secara berbahaya
SHAH ALAM - Seorang penunggang motosikal yang merempuh anggota polis dalam satu sekatan jalan raya (SJR) mengaku bersalah atas dua pertuduhan antaranya menunggang motosikal secara berbahaya, tiga minggu lalu.
Muhammad Khairul Syazwan Sulaiman, 22, membuat pengakuan itu selepas kedua-dua pertuduhan dibaca di hadapan Majistret, Muhammad Syafiq Sulaiman.
Bagaimanapun, mahkamah menetapkan 7 Februari tahun depan untuk fakta kes dan jatuh hukum.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa sengaja menghalang Koperal Ahmad Haizaki Salimon menjalankan tugas Penguatkuasa Kawalan Lalu Lintas Cawangan Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, apabila enggan memberikan kerjasama ketika diarahkan untuk memberhentikan motosikal Yamaha Y15 yang ditunggangi bagi tujuan pemeriksaan.
Kesalahan didakwa dilakukan di Persiaran Sultan dari arah sebuah hotel ke Persiaran Perbandaran di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di sini pada jam 12.30 tengah malam, 3 Disember lepas.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman, dua tahun penjara atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia yang juga pekerja di sebuah gudang, dituduh menunggang motosikal tersebut secara berbahaya di lokasi, masa dan tarikh sama.
Pendakwaan dibuat bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda maksimum RM15,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, peguam, Shalehhuddin Salam merayu sabitan hukuman ditangguhkan ke tarikh lain kerana anak guamnya masih menjalani rawatan di Hospital Shah Alam selepas tulang matanya patah.
"Saya mohon dia diberi ikat jamin pada kadar minimum," katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian mencadangkan pesalah muda itu diberi ikat jamin sebanyak RM11,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM2,000 bagi setiap pertuduhan.
Pada 4 Disember lalu, media melaporkan, seorang anggota polis cedera, selepas dilanggar penunggang motosikal yang cuba melarikan diri ketika operasi SJR di hadapan sebuah pusat beli-belah di sini.
Ini merupakan kejadian kedua berlaku ke atas anggota polis berpangkat koperal berusia 42 tahun itu.
Sebelum ini, koperal tersebut pernah cedera semasa bertugas SJR di Jalan Persiaran Selangor, Seksyen 15 di sini pada Jun 2019.
Difahamkan, koperal terbabit juga baru sahaja sembuh selepas terlibat dalam kemalangan, enam bulan lalu.
Hasil pemeriksaan daripada pihak Hospital Shah Alam, terdapat ketulan darah beku di bahagian belakang kepala mangsa sementara penunggang motosikal itu, mengalami pendarahan di mata.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!