Covid-19: Kedah jangka pelancong ke Langkawi meningkat

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan negeri yakin sektor pelancongan di Kedah tidak terjejas dengan peningkatan kes Covid-19 melebihi 20,000 kes dalam negara sejak kebelakangan ini.

Exco Pelancongan Kebudayaan dan Keusahawanan, Datuk Mohd Salleh Saidin berkata, pihaknya turut menjangkakan peningkatan kemasukan pelancong terutamanya di Langkawi ketika musim cuti sekolah ini.

Menurutnya, kebanjiran pelancong di pulau legenda itu turut bergantung kepada beberapa faktor antara pelbagai tarikan dan kemudahan disediakan selain pelaksanaan program seperti penganjuran Uptown@Adya sebagai usaha merancakkan pelancongan di Langkawi.

"Pada Oktober 2023 sahaja, data diperolehi merekodkan 2.2 juta pengunjung di Langkawi dan saya yakin dengan cuti sekolah ini, maka berlaku peningkatan.

"Jikalau kita pergi ke Langkawi sekarang, memang sesak dengan kehadiran pelancong," katanya selepas Majlis Perasmian Karnival Usahawan Negeri Kedah 2023 di Stadium Sultan Abdul Halim di sini pada Khamis.

Hadir sama, Exco Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan, Muhammad Radhi Mat Din.

Mohd Salleh (tengah) menyerahkan sijil kepada pempamer pada Majlis Perasmian Karnival Usahawan Negeri Kedah 2023 di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada Khamis.
Mohd Salleh (tengah) menyerahkan sijil kepada pempamer pada Majlis Perasmian Karnival Usahawan Negeri Kedah 2023 di Stadium Sultan Abdul Halim, Alor Setar pada Khamis.

Tambah Mohd Salleh, beliau juga yakin rakyat Malaysia akan berwaspada dan mengambil tindakan sewajarnya bagi mencegah penularan jangkitan virus Covid-19 selain mengikuti langkah-langkah kesihatan ditetapkan KKM.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat tidak perlu panik tetapi kita perlu berwaspada dengan menjaga diri masing-masing dan pakai pelitup muka ketika berada di tempat ramai.

"Kita sendiri kena ambil inisiatif itu tetapi saya yakin keadaan ini tidak akan menjejaskan aktiviti pelancongan di Kedah kerana kita telah terbiasa dengan (isu) Covid-19 itu," katanya.

Pada Isnin lepas, KKM memaklumkan tidak bercadang untuk mengulangi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti yang berlaku pada awal pandemik Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya berharap kes Covid-19 dapat ditangani walaupun Malaysia kini sedang menghadapi peningkatan kes yang mendadak.

Ketika diminta mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain bahawa lebih 80,000 pelancong Malaysia bercuti ke Thailand sejak Jumaat lepas, Mohd Salleh menyatakan, kerajaan negeri tidak menghalang mana-mana rakyat Malaysia untuk melancong ke Thailand semasa cuti sekolah.

Beliau berkata, ia berikutan orang ramai pastinya telah merancang perjalanan antarabangsa lebih awal sejak sekatan perjalanan semasa wabak terbabit ditarik semula.

Bagaimanapun, Mohd Salleh berkata, beliau yakin sektor pelancongan di Kedah akan berkembang maju melalui usaha-usaha diambil kerajaan negeri.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!