Sekat kapal Israel: Lembaga Pelabuhan Kelang, Westports nilai kesan arahan kerajaan

Laporan Sinar Harian pada Rabu.
Laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Pelabuhan Kelang dan Westports Holdings Bhd akan menilai kesan yang merumitkan berikutan larangan kapal pengendali perkapalan kargo Israel, Zim Integrated Shipping Services Ltd daripada berlabuh di Pelabuhan Klang susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Kelang, K. Subramaniam memberitahu Bernama bahawa pihaknya sedang meneliti kesan ke atas operasi Pelabuhan Klang dan akan memaklumkan kepada media secepat mungkin.

Sementara itu, pegawai Westports berkata, pengendali pelabuhan itu akan mematuhi arahan kerajaan untuk menyekat kapal ZIM dan akan merujuk kepada pihak berkuasa pelabuhan mengenai isu itu.

"Setakat ini, tiada mesyuarat dipanggil kerana keputusan itu telah dibuat mengejut namun, kami percaya akan ada perbincangan antara pengendali dan pihak berkuasa tidak lama lagi,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.

Pada Rabu, Anwar memaklumkan Malaysia mengenakan sekatan serta-merta dan tidak lagi menerima kapal yang menggunakan bendera Israel masuk ke negara ini.

Pada masa sama, kerajaan juga melarang mana-mana kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel daripada memuatkan kargo di pelabuhan Malaysia, katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan yakin semua keputusan itu tidak akan menjejaskan kegiatan perdagangan Malaysia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan turut memutuskan untuk menyekat dan tidak membenarkan syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM daripada berlabuh di mana-mana pelabuhan dalam negara berkuat kuasa serta-merta.

Artikel Berkaitan:

Susulan itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook turut berkata, kapal berkaitan Israel yang dijadualkan tiba di Pelabuhan Klang pada 26 Disember ini tidak akan dibenarkan berlabuh di Pelabuhan Klang.

Beliau berkata, Lembaga Pelabuhan Kelang telah diarahkan untuk membantu perniagaan logistik, pengimport, pengeksport dan perkapalan dalam menguruskan kargo yang terjejas.

Pelabuhan Klang ialah sebuah bandar dan pelabuhan laut utama bagi Malaysia.

Lokasi itu juga merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia, dengan pengendalian tahunan sebanyak 235.34 juta tan pada 2022, menjadikannya pelabuhan kedua paling sibuk di Asia Tenggara selepas Singapura, dan menduduki tempat ke-28 di peringkat antarabangsa.

Kontena, kargo pukal, muatan kargo pelbagai dan kargo cecair adalah antara kargo yang dikendalikan di Pelabuhan Klang.

Ia juga merupakan hab pemunggahan kargo bagi rantau ini, yang bermaksud mengendalikan kargo yang tidak menuju ke Malaysia namun, sedang diangkut ke pelabuhan lain. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!