Perak FC idam penyerang import mantapkan saingan musim depan
PERAK FC berhasrat menambah pemain import khususnya di posisi penyerang bagi memperkasakan kekuatan pasukan itu bagi mengharungi kempen Liga Malaysia yang dijangka bermula April depan.
Ketua jurulatihnya, Yusri Che Lah berkata, buat masa ini posisi berkenaan dilihat antara yang kritikal dan bermasalah kepada The Bos Gaurus sepanjang liga berlangsung pada musim ini.
"Kita tidak kecilkan skop pencarian penyerang import ini. Boleh jadi dari benua Amerika Selatan, Eropah, Afrika atau Asia. Kalau dia (penyerang) bagus, tepati kriteria dan bajet mencukupi maka kita akan ambil.
"Kita diberi sembilan slot pemain import, buat masa ini kita telah ada lima (pemain). Jadi, mungkin penambahan akan berlaku dan membabitkan seorang atau dua pemain import,” katanya ketika dihubungi Bernama pada Khamis.
Pada musim ini, Perak berada di kedudukan ke-11 daripada 14 pasukan Liga Super selain berjaya melangkah hingga ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia.
Bekas pemain kebangsaan itu berkata, buat masa ini kelima-lima pemain import sedia ada akan terus dikekalkan memandangkan kesemua mereka masih memiliki kontrak hingga penghujung Disember tahun hadapan.
Dalam pada itu, Yusri berkata, beliau telah mengenal pasti beberapa pemain yang akan dipinjamkan kepada pasukan lain bagi meningkatkan prestasi serta mendapatkan minit permainan secukupnya.
Senarai berkenaan, katanya telah dihantar kepada pihak pengurusan pada November lepas untuk tindakan lanjut.
"Kita tak boleh nak buang mereka (pemain) sebab ada kontrak serta beri peluang kepada mereka untuk meningkatkan prestasi. Jadi, saya fikir ini akan mewujudkan situasi ‘menang-menang’ antara kita dan pemain.
"Contohnya, dari sudut pasukan, pinjaman itu membolehkan kita menandatangani pemain baharu dan di pihak pemain sendiri, ia peluang kepada mereka untuk meningkatkan prestasi dan jika berjaya, mereka akan dipanggil untuk memperkuat pasukan,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!