Minat terhadap gajah dorong Norain jadi mahut

Norain (kanan) melakukan rutin harian sebagai mahut (pengembala gajah) kepada gajah berasal dari Myanmar berusia 49 tahun yang diberi nama Pian di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah (PKGK) di Lanchang. - Foto Bernama
Norain (kanan) melakukan rutin harian sebagai mahut (pengembala gajah) kepada gajah berasal dari Myanmar berusia 49 tahun yang diberi nama Pian di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah (PKGK) di Lanchang. - Foto Bernama
A
A
A

TEMERLOH - Norain Saudi menggosok-gosok muka Pian, sambil sesekali tangannya menghulur pisang ke gajah betina berusia 49 tahun itu.

Selepas itu, beliau perlahan-lahan menolak badan gajah yang berasal dari Myanmar itu supaya bergerak keluar dari kandang untuk menuju ke tempat mandi, sebelum mula menyembur air daripada getah paip ke mamalia seberat 4,760 kilogram itu.

"Ini antara tugasan saya sebagai mahut (penggembala gajah). Pada awalnya sukar juga untuk mengawal gajah kerana mungkin mereka sudah terbiasa dengan suara yang lebih kuat dan kasar (suara lelaki) memberi arahan.

"Pertama kali mengemudi gajah juga terasa gayat, tapi ibarat alah bisa tegal biasa, lama-kelamaan dapat membiasakan diri selain lebih pandai mengimbangi diri mengikut rentak pergerakan gajah," katanya kepada Bernama semasa mengimbas kembali kenangan awal bergelar mahut beberapa tahun lepas.

Norain, 34, antara Pembantu Hidupan Liar yang berkhidmat di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah (PKGK) di Lanchang di sini dan merupakan seorang daripada tiga mahut gajah wanita pertama di pusat konservasi itu.

Beliau yang dilahirkan di Melaka, namun dibesarkan di daerah ini berkata, minat terhadap gajah bermula sejak kecil kerana sering mengikut bapanya, Saudi Sidek, 63, yang juga pernah berkhidmat di PKGK.

Norain mula menjadi sukarelawan di pusat itu sejak berusia 19 tahun sebelum diserapkan selepas membuat permohonan pada 2011 susulan pengalamannya mengendalikan kerja berkaitan gajah, selain turut membantu kerja lain di pusat itu.

"Tapi pengalaman kerja-kerja harian itu tidak sama dengan tugasan sebagai mahut... kena banyak belajar kerana walaupun gajah di sini sudah dijinakkan, tetapi ada masanya ia suka bergurau dengan mahutnya.

Artikel Berkaitan:


Norain yang merupakan seorang daripada tiga mahut gajah wanita pertama di pusat konservasi itu berkata, minat terhadap gajah bermula sejak kecil kerana sering mengikut bapanya, Saudi Sidek, 63, yang pernah berkhidmat di PKGK. - Foto Bernama
Norain yang merupakan seorang daripada tiga mahut gajah wanita pertama di pusat konservasi itu berkata, minat terhadap gajah bermula sejak kecil kerana sering mengikut bapanya, Saudi Sidek, 63, yang pernah berkhidmat di PKGK. - Foto Bernama

"Dilibas di bahagian muka dengan telinga gajah perkara biasa. Jika ditanya pada mahut di sini, setiap orang pasti ada pengalaman itu. Walaupun telinga gajah kelihatan lembut, tapi kesan libasan boleh tahan juga kerasnya," katanya sambil ketawa.

Sebagai mahut, Norain juga perlu belajar beberapa arahan asas seperti 'duduk', 'jalan', 'baring' dan 'bangun' dalam bahasa Thailand, Myanmar dan India kerana terdapat gajah di pusat konservasi itu berasal dari negara tersebut.

Buat masa ini, terdapat 23 ekor gajah menghuni pusat konservasi yang ditubuhkan pada 1989 itu.

PKGK menjadi tempat perlindungan bagi gajah yang majoritinya ditemukan dalam keadaan cedera akibat perbuatan manusia atau serangan haiwan di habitat asal.


Antara rutin tugasan harian sebagai yang dilakukan beliau ialah memberi makan, membawa gajah berjalan keluar dan memandikan mamalia tersebut. - Foto Bernama
Antara rutin tugasan harian sebagai yang dilakukan beliau ialah memberi makan, membawa gajah berjalan keluar dan memandikan mamalia tersebut. - Foto Bernama

Sebagai mahut junior di PKGK, Norain tidak mempunyai gajah khusus untuknya seperti rakan sejawatan lain, namun beliau akan bergilir-gilir menjaga gajah di situ untuk membiasakan kehadirannya dalam kumpulan haiwan itu.

Beliau juga bersyukur kerana mendapat kerjasama dan tunjuk ajar dari rakan-rakan mahut yang tidak lokek ilmu, selain kerap membantu menenangkan gajah kendalian mereka jika tidak mahu mendengar arahan Norain.

Norain mengakui lebih seronok jika ditugaskan mengendalikan anak gajah termasuk memberi susu, namun katanya mengendalikan gajah muda juga datang dengan cabaran.

"Kalau diikutkan, mengendalikan gajah berusia lebih setahun bernama Kelaik pada 2020 atau 2021 paling meninggalkan kesan.

"Anak gajah itu dijangkiti elephant endotheliotropic herpesvirus (EEHV) dan walaupun pelbagai usaha dilakukan, Kelaik tidak dapat diselamatkan dan mati di depan mata saya," katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!