Kemudahan perkhidmatan monorel akan dibaik pulih - Anthony Loke

Anthony Loke (dua dari kanan) bersama Noraini meninjau tren pada Majlis Pelancaran Projek Perintis Koc Wanita MRT laluan Kajang hari ini. - Foto Bernama
Anthony Loke (dua dari kanan) bersama Noraini meninjau tren pada Majlis Pelancaran Projek Perintis Koc Wanita MRT laluan Kajang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KAJANG - Kemudahan perkhidmatan monorel akan dibaik pulih terutama pintu platform yang mengalami kerosakan teknikal sehingga sukar ditutup.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, proses pemulihan itu bakal dilaksanakan dalam masa terdekat bagi menjamin keselamatan pengguna.

"Kita mempunyai perancangan untuk membaik pulih pintu platform gerabak monorel yang tidak berfungsi begitu baik sejak beberapa tahun lalu.

"Ia (pintu platform) gagal berfungsi kerana tiada integrasi antara rel dan platform.

"Kita sudah melantik kontraktor baru dan kini mereka sedang membaiki sistem itu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Projek Perintis Koc Wanita MRT Laluan Kajang pada Khamis.

Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Mengulas lanjut, menurut Anthony Loke, kerja membaik pulih akan disiapkan menjelang suku keempat 2024.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, ia penting terutama bagi pengguna cacat penglihatan yang sering menggunakan perkhidmatan monorel.

"Monorel mempunyai lebih ramai pengguna cacat penglihatan jadi kita minta proses ini dipercepatkan," katanya.

Sementara itu, Anthony Loke ketika ditanya media mengenai perkembangan insiden tayar monorel terjatuh dan terbakar di Stesen Titiwangsa pada Selasa lalu berkata, ia masih dalam siasatan pihak Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana).

Jelasnya, kejadian tersebut telah dilaporkan kepada pihak Kementerian Pengangkutan untuk tindakan lanjut.

"Walaupun insiden itu tidak memberi kesan terhadap operasi namun kita memandang serius kejadian yang berlaku.

"Punca kejadian perlu diselidik dan membuat kajian lanjut," ujarnya.

Pada Selasa lalu, suasana gempar seketika di Jalan Tun Razak apabila tayar monorel terjatuh sebelum terbakar dalam kejadian di laluan Stesen Monorel Titiwangsa.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II Nooridzwan Mohamad Noor berkata, pihaknya menerima makluman berkaitan kejadian pada jam 12.57 tengah hari.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!