Tindakan DAP dibimbangi retakan Kerajaan Perpaduan
ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Tindakan DAP yang berulang kali membangkitkan isu sensitif dibimbangi boleh meretakkan Kerajaan Perpaduan.
Ketua Penerangan UMNO Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, cadangan DAP untuk melaksanakan pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) ibarat ‘menjolok sarang tebuan’ kerana ia tidak disenangi ramai pihak.
Menurutnya, DAP sewajarnya meninggalkan politik perkauman dan agama, selain fokus untuk ke hadapan atas dasar perjanjian dan persefahaman yang sudah dicapai.
“Tindakan DAP ini boleh membawa kepada ketidakstabilan Kerajaan Perpaduan.
“Saya harap pemimpin tertinggi DAP kawal tindakan pemimpin mereka, jangan bawa perkara yang tidak beri kebaikan kepada negara. Mereka juga tidak seharusnya bersikap terlalu ekstrem,” katanya pada Khamis.
Ketua UMNO Bahagian Merbok itu turut memberi amaran kepada pemimpin DAP supaya jangan sesekali cuba mengapi-apikan kemarahan UMNO dengan mengulangi berkali-kali isu pilihan raya PBT.
“Apa pun rasionalnya, nasihat saya, jangan selalu sangat jolok sarang tebuan, mungkin kali pertama atau kedua, sempat lari terjun sungai, kali ketiga belum tentu.
“Sebelum ini, veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang bangkitkan isu 'kaum bukan Melayu boleh dilantik menjadi Perdana Menteri', sekarang isu pilihan raya PBT pula dijentik lagi. Sudah-sudah lah DAP,” ujarnya.
Shaiful Hazizy menegaskan, UMNO sudah menolak pelaksanaan pilihan raya PBT dan sangat tidak selesa apabila isu tersebut dibangkitkan berulang kali.
“Perjanjian sudah ditandatangani, persefahaman sudah dicapai, DAP sepatutnya ‘move forward’ janganlah pandang ke belakang lagi, elakkan kembali kepada episod politik perkauman dan agama,” jelasnya.
Shaiful Hazizy turut mempersoalkan DAP sama ada mereka selesa sekiranya UMNO memanggil parti itu sebagai anti-Islam, anti-Melayu dan komunis.
“Saya ingin bertanya kepada pemimpin-pemimpin DAP, selesa tak kalau UMNO berulang kali ulangi bahawa DAP anti-Islam, anti-Melayu dan komunis?
“Saya mohon pimpinan besar DAP menahan nafsu untuk Malaysia yang lebih baik. Cukup-cukup lah ‘test market’, ia tidak membawa kebaikan kepada negara.
“Sebaliknya ia hanya akan cetuskan ketidakstabilan kepada kerjasama baharu Kerajaan Perpaduan. Korbankan agenda picisan untuk Malaysia yang lebih baik dan progresif,” katanya lagi.
Sebelum ini, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai mencadangkan kepada kerajaan supaya memulakan pilihan raya PBT di Kuala Lumpur.
Ahli Parlimen Cheras itu berkata, pengenalan pilihan raya berkenaan bertujuan untuk kelestarian dan memberi pilihan kepada penduduknya memilih ahli majlis tempatan.
Kenyataan Kit Siang, Kok Wai boleh ancam kestabilan negara
SHAH ALAM - Semua pemimpin khususnya dalam Kerajaan Perpaduan perlu menjaga keharmonian tanpa menjentik kontroversi yang boleh mengancam kestabilan negara.
Exco Pemuda UMNO, Shah Zanuriman Nuar Paras Khan berkata, kepimpinan DAP digesa mengambil tindakan tegas terhadap individu yang cuba mencetuskan kekacauan bagi mengelak penyebaran kenyataan yang boleh mengeruhkan keadaan.
Menurutnya, terdapat beberapa tokoh penting DAP didakwa telah dengan sengaja mengeluarkan kenyataan yang tidak bertanggungjawab.
"Tan Sri Lim Kit Siang, seorang bekas pemimpin DAP baru-baru ini mengeluarkan kenyataan provokatif dengan menyuarakan impian untuk melihat seorang Perdana Menteri dari kalangan bukan Melayu.
" Lebih menyedihkan, Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai, dalam ucapan beliau di Konvensyen DAP Kuala Lumpur mencadangkan untuk mengembalikan pilihan raya tempatan di peringkat bandar raya Kuala Lumpur," katanya menerusi kenyataan.
Beliau berkata, wujud persoalan akan niat pemimpin DAP itu mengeluarkan kenyataan yang dianggap provokatif
"Adakah mereka dengan sengaja cuba menimbulkan ketidakpuasan di kalangan rakyat Malaysia? Atau adakah mereka tidak senang dengan keamanan dan keharmonian yang dinikmati oleh rakyat hasil daripada kesepaduan dalam Kerajaan Perpaduan?
"Persefahaman status quo antara kaum yang telah membawa kesejahteraan kepada rakyat selama lebih dari 60 tahun sepatutnya tidak diganggu malah sepatutnya terus disuburkan serta di angkat
"Saya menolak sepenuhnya kenyataan-kenyataan yang tidak masuk akal ini yang pastinya akan membawa kepada keadaan yang lebih buruk jika dibiarkan berpanjangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!