Bantuan kecemasan lebih pantas melalui Chatbot Putri
SHAH ALAM - Bantuan kecemasan dan maklumat berkenaan perkhidmatan Lebuhraya PLUS kini lebih pantas melalui Chatbot PLUS Texting Realtime Interface (Putri) menerusi aplikasi WhatsApp.
PLUS dalam satu kenyataan berkata, pengguna lebuh raya berkenaan hanya perlu menghantar mesej di talian 019-356 9802 dan menunggu maklum balas pantas daripada Putri yang mampu berinteraksi secara dwibahasa.
Menurutnya, komunikasi bersama Putri akan menjadi lebih mudah, pantas dan efisien untuk pengguna lebuh raya meminta bantuan kecemasan melalui pautan SOS serta mengakses dan mendapatkan maklumat berkaitan perkhidmatan Lebuhraya Plus tanpa perlu membuat panggilan ke talian PLUSLine 1-800- 88-0000.
"Putri merupakan chatbot pertama bagi industri lebuh raya yang telah diperkenalkan oleh PLUS sejak September 2020 dan merupakan program perisian bercirikan kecerdasan buatan dan pembelajaran mesin yang menggunakan pemprosesan bahasa untuk berinteraksi secara atas talian melalui teks.
"Sejak diperkenalkan, Putri telah berjaya mengendalikan kira-kira 220,000 maklum balas dan perbualan lengkap bersama pengguna lebuh raya mengenai perkhidmatan Lebuhraya PLUS secara digital.
"Selain itu, Chatbot Putri berupaya memberikan pelbagai maklum balas dengan lebih cepat berkaitan perkhidmatan Lebuhraya PLUS.
"Antaranya berkaitan maklumat trafik, kadar tol, pertanyaan umum, produk dan kemudahan, promosi dan acara, memberi maklum balas, melapor kejadian dan lain-lain lagi," katanya pada Rabu.
Menurut kenyataan itu lagi, dengan bantuan Putri, petugas di Pusat Pemantauan Trafik (TMC) Plus berupaya memberi lebih fokus terhadap panggilan kecemasan dan koordinasi bantuan dengan lebih lancar untuk membantu pengguna lebuh raya yang berada di dalam kesulitan atau kecemasan di lebuh raya.
Dalam pada itu, katanya, Putri telah menerima pengiktirafan dan dianugerahkan sebagai johan bagi Kategori Sektor Swasta pada Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2023 yang berlangsung di Hotel Swiss Garden, Bukit Bintang baru-baru ini.
"Ini telah membuktikan komitmen PLUS terhadap inovasi dan kecemerlangan dalam menyediakan perkhidmatan yang pantas dan efisien kepada pengguna lebuh raya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!