'Banyak yang indah khabar dari rupa'
JOHOR BAHRU - Pemerintahan Pakatan Harapan (PH) sepanjang tahun 2019 disifatkan masih gagal apabila pelbagai inisiatif dan juga janji yang ditaburkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu belum direalisasikan sepenuhnya.
Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, lebih malang banyak keputusan dibuat PH sepanjang tahun ini juga hanyalah sekadar indah khabar dari rupa selain terus mengabaikan kebajikan rakyat khususnya.
“Soal kebajikan rakyat terus diabaikan mereka apabila satu demi satu bantuan kepada rakyat ditarik secara halus.
“Belum habis itu, banyak agenda pembangunan dilaksanakan BN sebelum ini yang dikatakan 'menjual negara' seperti pembangunan bandar Malaysia, Menara Tun Razak Exchange (TRX) akhirnya dinyatakan projek menguntungkan negara pula,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Hairi mendakwa, keadaan pentadbiran kewangan negara juga dilihat semakin merudum apabila pelbagai inisiatif memberi kesenangan kepada rakyat seperti sebelum ini terus diminimumkan tanpa usul yang jelas.
“Satu demi satu isu menjadi kepentingan rakyat mula dicabul daripada Tabung Haji hinggalah kepada dividen ASB terendah dalam sejarah negara.
“Begitu juga puluhan juta diperuntukkan bagi pembangunan kereta terbang dan rakyat dibiarkan supaya ikat perut dalam suasana ekonomi mencabar,” katanya.
Tambahnya lagi, pihaknya juga kecewa apabila kerajaan seolah-olah tidak memberi perhatian kepada isu berkenaan selain hanya mengambil jalan mudah dengan meminta maaf atau menarik sebarang keputusan sesuka hati.
Katanya, perkara itu dilihat apabila banyak keputusan diumumkan menteri-menteri PH yang tidak berasas sentiasa diakhiri dengan membuat u-turn sebaik menerima kecaman hebat daripada rakyat.
“Namun, apa yang kami mahu nyatakan adalah kerajaan sekarang perlu beringat, rakyat sudah sedar dan nampak kepincangan kerajaan PH dalam mengurus tadbir negara.
“Rakyat juga mula bangkit menentang penipuan, dan sudah berani mempersoal menteri kartun yang tidak pandai buat kerja dan hanya berbangga dengan kedudukan dan jawatan,” katanya.
Melihat daripada apa yang terjadi, beliau juga yakin, kebangkitan rakyat ini dijangka mampu menjadi penguat kepada UMNO dan BN untuk kembali menjadi wadah kepada masyarakat dalam menyuarakan sebarang kegusaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!