Andartu besarkan anak angkat termasuk kategori ibu tunggal

Maliaman (dua dari kanan) menyampaikan Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Siri 2 Tahun 2023 kepada seorang penerima di Kuala Terengganu pada Khamis.
Maliaman (dua dari kanan) menyampaikan Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Siri 2 Tahun 2023 kepada seorang penerima di Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - [DIKEMAS KINI] Golongan wanita lanjut usia (andartu) yang berpendapatan rendah dan belum berkahwin serta membesarkan anak angkat atau anak tidak sah taraf termasuk dalam kategori ibu tunggal di Terengganu.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata, golongan tersebut merupakan antara kelompok yang termasuk dalam 43,471 wanita didaftarkan sebagai ibu tunggal di negeri itu.

"Selain melibatkan kes-kes perceraian dan kematian suami, ada satu lagi status ibu tunggal di negeri ini iaitu dalam kalangan andartu iaitu perempuan yang tidak pernah berkahwin ini, apabila dia pelihara anak angkat kita anggap dia sebagai ibu tunggal juga.

"Jadi mereka ini (andartu) kita daftar juga sebagai ibu tunggal.

"Ia merupakan antara faktor pertambahan jumlah ibu tunggal di negeri ini, bukan kes perceraian saja... yang kematian suami memang lebih ramai, berbanding yang kematian isteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Siri 2 Tahun 2023 di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Datuk Wan Zakri Wan Mohd.

Dalam pada itu, Maliaman tidak memperincikan had usia andartu yang termasuk dalam kategori ibu tunggal dan memberitahu kelayakan untuk menerima bantuan bergantung kepada pendapatan yang dimiliki.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi andartu asnaf fisabilillah, bantuan akan disalurkan bawah Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) sementara untuk Andartu kategori susah bantuan disalurkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Biasanya 35 tahun atau 40 tahun ke atas, itu sudah diistilahkan sebagai lanjut usia sekiranya tidak berkahwin.

"Saya sebenarnya nak sebut andartu rasa sensitif sikit atas beberapa faktor.

"Jadi bagi andartu (yang) dia pelihara anak, kita (kerajaan) daftar sebagai ibu tunggal dan kalau yang tidak memelihara anak kita tidak kategorikan mereka sebagai ibu tunggal," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!