Adik Athif boleh gerakkan tangan, kaki selepas suntikan RM9 juta
KUANTAN - Selepas hampir lima bulan menerima suntikan terapi genetik Zolgensma bernilai lebih RM9 juta, Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan yang menghidap Atrofi Otot Spina (SMA) jenis satu mula menunjukkan perkembangan positif dari segi pergerakan dan pernafasan.
Ibunya, Nur Azizah Zamri, 33, bersyukur dengan perkembangan anaknya dan menganggap Athif yang berusia 21 bulan seolah-olah bayi yang baharu dilahirkan semula.
Menurutnya, Athif kini dalam proses pembelajaran mengenal semula dan menggunakan deria serta ototnya kerana sebelum ini anak bongsunya itu hanya mampu terbaring.
"Alhamdulillah, selepas terima suntikan itu banyak perkembangan positif Athif. Dulu langsung tak boleh bergerak, hanya terbaring, kini dia sudah boleh gerakkan tangan dan kaki.
"Kalau sebelum ini, 24 jam bergantung kepada alat bantu pernafasan tapi kini banyak perkembangannya, kalau waktu mandi pun dia sudah boleh bertahan selama 30 minit tanpa guna alat bantu pernafasan," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Nur Azizah berkata, perubahan paling ketara apabila Athif sudah boleh didukung dan mukanya tidak lagi berubah kebiruan ketika duduk.
"Athif juga sudah mula bersuara dan kini sudah pandai menjerit memanggil kakaknya,” ceritanya yang teruja berkongsi perkembangan positif anaknya itu.
Dalam pada itu, tambah Nor Azizah, Athif kini sedang menjalani tiga sesi latihan iitu terapi pertuturan, terapi cara kerja dan fisioterapi selama dua jam setiap hari di Pusat Kesihatan dan Rehabilitasi WQ Park di Indera Mahkota.
"Sesi latihan itu dijalankan bagi merangsang deria dan otot Athif. Kami tidak akan putus asa dan akan membawanya untuk menjalani semua sesi itu daripada Isnin hingga Jumaat.
"Sekarang Athif juga dalam proses belajar untuk telan makanan, angkat kepala semasa meniarap dan belajar untuk pusing badan,” katanya.
Selain itu, Nur Azizah berkata, dia dan suaminya, Mohd Farhan Mohd Sait juga bersyukur kerana tidak lagi perlu membawa Athif untuk menjalani rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dalam kadar yang kerap.
Katanya, sebaliknya mereka perlu membawa Athif seminggu sekali untuk pemantauan perkembangannya selepas menerima suntikan terapi genetik itu.
“Athif hanya perlu hadir untuk pemeriksaan susulan tiga bulan sekali di PPUM bermula tahun hadapan,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian menyiarkan kisah Athif yang menderita penyakit SMA jenis satu dan memerlukan memerlukan suntikan ubat jenis genetik Zolgensma bernilai kira-kira AS$2.1 juta atau RM9.7 juta untuk kesan pulih seumur hidup.
Pada 14 Jun lalu, Kerajaan Pahang memberi jaminan akan menanggung baki kos perubatan Muhammad Athif sekiranya dana masih belum mencukupi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!