Rakyat Perlis berpusu-pusu dapatkan al-Quran percuma
KANGAR - Rakyat Perlis dilaporkan berpusu-pusu mendapatkan al-Quran percuma yang diedarkan Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Melalui perkongsian Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin di Facebook miliknya, beberapa hari lalu Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Tuanku Syed Putra Jamalullail menitahkan beliau mengedarkan 1,500 naskhah al-Quran yang dipersembahkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada Tuanku beberapa bulan yang lalu.
Mohd Asri berkata, beliau mengambil keputusan untuk menunaikan hasrat tersebut dengan cara mengiklankan sesiapa yang berhasrat untuk memiliki al-Quran tersebut untuk datang ke Jabatan Mufti.
"Tujuan saya agar hanya mereka yang bersungguh-sungguh sahaja yang akan mengambil al-Quran tersebut.
"Jika diberikan secara rambang mungkin yang kurang berminat juga akan mengambilnya dan akhirnya hanya untuk disimpan," katanya pada Khamis.
Menurutnya, beliau sangat kagum apabila ketika iklan itu disiarkan berpusu-pusu rakyat Perlis datang ke Jabatan Mufti.
"Mereka sanggup beratur panjang untuk menerima senaskhah al-Quran. Dalam waktu yang singkat sahaja hampir 700 orang menerima al-Quran.
"Kemudian, pihak Jabatan Mufti tutup kaunter sekejap untuk penyelarasan. Pelbagai panggilan telefon dan surat-surat masuk memohon agar disimpan al-Quran untuk mereka," katanya.
Jelasnya, keesokannya orang ramai didapati beratur di hadapan Pejabat Mufti meminta al-Quran. Ada yang merayu untuk ibu bapa mereka yang sudah tua dan tidak dapat hadir.
"Sebak dan menangis saya sendirian melihat suasana itu. Jika biasanya ramai orang sanggup beratur untuk mendapatkan bantuan tetapi sebaliknya di Perlis sejumlah rakyat negeri ini beratur untuk mendapatkan senaskhah al-Quran," katanya.
Mohd Asri berkata, menjadi kelaziman di Perlis sejak beberapa tahun lalu beliau telah meminta imam di setiap masjid membaca al-Quran satu muka surat atau separuh dari awal sehingga khatam selepas solat Subuh diikuti oleh makmum sebagai pengajian mengelokkan bacaan.
"Selepas itu imam akan membaca terjemahan ayat-ayat al-Quran tersebut. Harapan saya, setiap orang yang hadir ke masjid waktu subuh akan dapat membaiki bacaan al-Quran dan mendengar terjemahannya.
"Maka, dia secara langsung berguru bacaan al-Quran dan mengetahui maksud ayat-ayat al-Quran setiap hari sehingga khatam nanti," katanya.
Jelasnya, program berkenaan adalah pengajian tetap dan berterusan al-Quran yang berjalan setiap hari di setiap masjid di seluruh negeri Perlis.
"Jika ada masjid yang tidak berlaku hal itu, tanda imam tidak bertugas dengan baik. Mudah-mudahan dengan kecintaan rakyat Perlis kepada al-Quran dan program tersebut akan menjadikan rakyat negeri ini diberikan kurniaan Allah SWT sebagai mereka yang mencintai dan memahami wahyu yang agung itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!