Sotong manis RM50: Pemilik restoran tampil beri penjelasan

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KOTA KINABALU - Selepas tular di media sosial sotong manis dijual dengan harga RM50, seorang individu mendakwa pemilik restoran berkenaan tampil memberi penjelasan berhubung isu tersebut.

Menerusi akaun Facebook Noeylz Hashim, beliau membuat beberapa penjelasan umum termasuk harga jualan yang dipamerkan adalah jelas iaitu dari RM20 hingga RM100 bagi seekor sotong manis.

"Harga sotong manis bersaiz besar yang tinggi berikutan stok sotong manis saiz besar hanya boleh didapati secara tempahan khas.

"Harga sotong manis mentah adalah sekitar RM38 keatas untuk satu kilogram. Kuantiti sotong untuk satu kilogram hanya sekitar dua hingga tiga ekor sahaja. Harga yang dinyatakan belum termasuk bahan-bahan masakan yang lain," jelasnya dalam hantaran di Facebook berkenaan.

Menurutnya, perbelanjaan lain juga harus diambil kira termasuk sewa kedai, gaji pekerja dan lain-lain.

"Sesungguhnya, pihak yang menyatakan kami tidak mempamerkan harga adalah fitnah semata-mata.

"Pelanggan tidak dipaksa untuk mengambil lauk yang di luar kemampuan mereka kerana terdapat banyak pilihan lauk yang lain," katanya.

Sehubungan itu, beliau turut berterima kasih kepada pelanggan yang telah menyokong restoran yang telah beroperasi selama lebih 30 tahun dengan hidangan lauk yang sama.

Artikel Berkaitan:

"Kami dengan rendah hati memohon maaf sekiranya ada pihak yang tidak berpuas hati dengan harga makanan kami, yang tidak dapat kami elakkan berikutan kos bahan mentah yang semakin meningkat," katanya.

Sinar Harian pada Rabu lalu melaporkan seorang pengguna Facebook meminta orang ramai berhati-hati menjamu selera di sebuah restoran di pusat bandar Kota Kinabalu selepas dikenakan bayaran RM50 untuk seekor sotong dalam hidangannya.

Dalam hantaran di media sosial itu turut disertakan gambar sepinggan nasi berlaukkan sotong manis dan sayur bersama resit dengan jumlah keseluruhan makanan bernilai RM75.

Hantarannya itu mendapat pelbagai reaksi daripada warganet yang terkejut dengan harga sotong manis yang tertera pada resit tersebut.

@sinarharianonline

Sotong manis RM50: Pemilik restoran tampil beri penjelasan #fyp #SinarHarian #SinarTerkini #Restoran

sonido original - _Disney30s_

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!