Anggota trafik ditempatkan di lokasi kemalangan, kesesakan - JSPT

Polis akan menempatkan anggota trafik di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti kerap berlaku kemalangan dan kesesakan di seluruh negara sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu minggu depan. - Gambar hiasan Bernama
Polis akan menempatkan anggota trafik di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti kerap berlaku kemalangan dan kesesakan di seluruh negara sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu minggu depan. - Gambar hiasan Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan menempatkan anggota trafik di kawasan-kawasan yang telah dikenal pasti kerap berlaku kemalangan dan kesesakan di seluruh negara sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu minggu depan.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri dalam kenyataan pada Khamis berkata, ia adalah sebagai langkah proaktif jabatan berkenaan bagi memastikan kelancaran aliran trafik yang dijangka bertambah susulan perayaan dan cuti umum.

"Berdasarkan laporan pihak konsesi lebuh raya, dijangka sehingga dua juta kenderaan akan menggunakan lebuh raya pada Sabtu hingga Selasa ini dan sempena Tahun Baharu untuk pulang ke kampung masing-masing dan bercuti," katanya.

Beliau berkata, JSPT sentiasa berkolaborasi bersama pihak konsesi lebuh raya agar tindakan penyuraian kesesakan aliran trafik dapat disegerakan sekiranya berlaku kes kemalangan.

Pengguna lebuh raya diminta peka dengan maklumat trafik semasa dan kemudahan yang boleh digunakan sekiranya menghadapi kecemasan di lebuh raya.

Orang ramai juga dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal serta sentiasa mematuhi peraturan lalu lintas demi keselamatan diri, keluarga dan pengguna jalan raya.

Terdahulu, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan memaklumkan kerajaan bersetuju memberikan tol percuma selama dua hari pada 23 dan 26 Disember kepada pengguna lebuh raya bagi semua jenis kenderaan bersempena dengan Hari Krismas, Isnin depan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!