Bursa tegur, denda 10 pengarah Serba Dinamik

Bursa Malaysia Securities Bhd menegur secara terbuka Serba Dinamik Holdings Bhd dan 10 pengarahnya serta turut mengenakan denda daripada RM355,200 hingga RM1.38 juta. - Gambar Bernama
Bursa Malaysia Securities Bhd menegur secara terbuka Serba Dinamik Holdings Bhd dan 10 pengarahnya serta turut mengenakan denda daripada RM355,200 hingga RM1.38 juta. - Gambar Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bursa Malaysia Securities Bhd menegur secara terbuka Serba Dinamik Holdings Bhd dan 10 pengarahnya serta turut mengenakan denda daripada RM355,200 hingga RM1.38 juta.

Menurut bursa dalam kenyataan pada Khamis, syarikat tersebut melanggar enam Keperluan Penyenaraian Pasaran Utamanya (LR Utama).

Pengarah Urusan Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Mohd Abdul Karim Abdullah dan Pengarah Eksekutif, Datuk Syed Nazim Syed Faisal, masing-masing didenda RM1.38 juta.

Pengerusi Bukan Eksekutif, Datuk Abdul Kadier Sahib didenda RM785,400 manakala Datuk Awang Daud Awang Putera, Datuk Mohamed Ilyas Pakeer Mohamed, Johan Mohamed Ishak, Datuk Seri Mohamed Farid Abu Hassan dan Siti Zaleha Sulaiman didenda antara RM600,000 dan RM710,400.

Noor Azri Noor Azerai dan Abu Bakar Uzir, masing-masing didenda RM355,200 dan RM360,400.

"Penemuan pelanggaran dan denda yang dikenakan ke atas Serba Dinamik dan pengarahnya telah dibuat (mengikut) perenggan 16.19 LR Utama apabila proses yang sewajarnya selesai dan selepas mengambil kira semua fakta dan situasi perkara itu,” katanya.

Bursa berkata, ia mengambil kira pelanggaran dan impaknya terhadap syarikat, pemegang saham dan pelabur serta peranan, tanggungjawab, pengetahuan, penglibatan dan tata laku, tindakan dan ketidaktindakan para pengarah.

Katanya, terdapat 'peninggalan tugas yang serius' oleh Lembaga Pengarah dan juga kegagalan tadbir urus korporat, terutamanya dalam kegagalan mereka memastikan pendedahan maklumat material yang betul dan tepat pada masanya, ketelusan pasaran dan pematuhan terhadap arahan pengawal selia.

Artikel Berkaitan:

"Bursa Malaysia Securities tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap pengarah yang gagal melaksanakan tugas mereka (termasuk pengarah yang baru dilantik dan tanpa mengambil kira peletakan jawatan pengarah), justeru, membenarkan/menyebabkan syarikat tersenarai itu melakukan pelanggaran LR Utama,” katanya.

Menurut bursa, ia memandang serius pelanggaran itu berikutan pendedahan penyata kewangan dan maklumat material yang tepat pada masanya dan tepat menjadi kewajipan asas syarikat yang tersenarai dan amat penting untuk memastikan pasaran yang teratur dan adil, mengekalkan integriti pasaran dan keyakinan pelabur.

"Wajib bagi syarikat yang tersenarai dan pengarah mereka untuk mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Bursa Malaysia Securities.

"Semua pengarah, eksekutif atau bukan eksekutif syarikat yang tersenarai juga perlu memastikan pematuhan LR Utama dan mengekalkan standard integriti, akauntabiliti, tadbir urus korporat dan tanggungjawab yang tertinggi kepada pemegang sahamnya dan orang ramai yang melabur,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!