Menara Ilham disita SPRM dilapor milik Daim
SHAH ALAM - Bangunan Menara Ilham yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Isnin dilapor milik bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin.
Memetik laporan Channel News Asia (CNA), sumber terdekat Daim memaklumkan tindakan sita dibuat susulan bekas anggota Kabinet itu enggan mematuhi arahan agensi penguatkuasaan tersebut.
Menurut sumber itu, bekas menteri yang rapat dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad itu enggan mengisytiharkan pegangan kewangan miliknya dan keluarga.
Katanya, tindakan itu sebahagian daripada siasatan anti-penggubahan wang haram yang bermula pada Mei lalu berkaitan transaksi korporat bernilai RM2.3 bilion pada November 1997 melibatkan Renong Bhd dan United Engineers Malaysia Bhd (UEM).
Bagaimanapun, Daim menolak tuntutan tersebut dan menegaskan bahawa beliau tidak mempunyai kaitan dengan perjanjian Renong-UEM.
Daim berkata, perjanjian korporat yang menyaksikan UEM memperoleh 33 peratus kepentingan dalam Renong merupakan transaksi korporat antara syarikat yang ditadbir oleh pengurusan, lembaga pengarah dan pemegang saham.
Daim juga meminta lanjutan tempoh untuk memberikan butiran mengenai pegangan kewangannya dan meminta SPRM mendedahkan sebab petisyen pengisytiharan harta berkenaan, termasuk dakwaan beliau disiasat kerana melakukan kesalahan.
Sinar Harian pada Khamis melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan pihaknya menyita Bangunan Menara Ilham pada Isnin.
Sebelum ini, Menara Ilham sering dikaitkan dengan seorang tokoh korporat dan bekas menteri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!