Aib orang sama mahalnya dengan air muka sendiri
Perspektif Islam berkenaan status aib melibatkan moral dan jenayah, pendedahan dibuat demi mencari keadilan atau mendidik
JARI-JEMARI begitu laju menekan butang huruf di skrin telefon. Dek kerana tidak mahu dikatakan ketinggalan isu paling terkini, otak ligat memikirkan ayat paling hebat, berbaur sedikit sindiran dan kecaman tatkala membuat hantaran di media sosial.
Tanpa sedar saat kita meninggalkan coretan itu, rupanya ‘terlondeh‘ aib orang lain. Walaupun kadangkala bukanlah disengajakan, namun ‘kerosakan‘ sudah pun dibuat.
Situasi itulah yang berlaku pada era milenial ketika media sosial memuncak peranannya.
Bukan hanya jari yang menaip, mulut juga tidak kurang juga hebat. Cepat sahaja bibir mengeluarkan ungkapan yang membuka kejelikan orang lain, terutama ketika membuat hantaran dalam versi video pendek.
Hakikatnya, aib orang sama mahalnya dengan cela sendiri. Andai kita mampu mengunci rapat keburukan diri, mengapa tidak air muka orang lain?
Namun, adakah memang semua aib orang patut ditutup walaupun melibatkan perkara jenayah? Bagaimana pula jika kita sekadar meluahkan perasaan kepada seseorang hingga membuka keburukan orang lain?
Sedariaberdosa
Kepada Sinar Islam,pendakwah Ustaz Mohamad Hadi Ahmad Talhah menjelaskan, menyebarkan aib orang lain secara umumnya dilarang keras dalam Islam.
Jelas beliau, berdosa hukumnya apabila kita menceritakan cela orang kepada khalayak walaupun benar apa yang didedahkan.
Ia termasuklah apabila kita memperkatakan tentang aib dari sudut fizikal seseorang seperti saiz badan, kecacatan dan seumpamanya serta melibatkan perbuatan maksiat yang dilakukan seseorang.
“Ini bermakna kita telah mengumpat, andai apa yang diceritakan itu benar. Kalau tidak betul pula, fitnah namanya.
“Ingatlah, mengumpat adalah perbuatan yang dibenci si empunya diri andai dia mendengarnya,“ katanya baru-baru ini.
Ia bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW: “Siapa yang membebaskan seseorang dari kesusahan dunia maka ALLAH akan melepaskannya dari kesusahan hari kiamat. Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka ALLAH akan memudahkannya di dunia dan akhirat. Siapa yang menutup aib saudaranya yang Islam, maka ALLAH akan menutup aibnya di dunia dan akhirat. ALLAH akan membantu hamba selagi mana hamba membantu saudaranya.“ (Hadis Riwayat Muslim)
Jelas Mohamad Hadi, peri pentingnya umat Islam dalam menjaga maruah orang lain sehingga jika ingin memberi teguran pun dilakukan dengan penuh beradab.
Perkara itu boleh dilihat apabila Ibn Rajab dalam kitabnya, Jami‘ul Ulum Wal Hikam menukilkan bahawa Imam Syafie menyatakan: “Barang siapa yang menasihati saudaranya dengan menjaga kerahsiaannya bererti dia telah menasihatinya. Sesiapa yang menasihati tanpa menjaga kerahsiaannya, bererti dia telah membuka aib dan mengkhianatinya.“
Pun demikian, dalam konteks tertentu, ujar penceramah itu, kekurangan tersebut boleh diungkapkan dengan syarat-syarat ketat.
Misalnya andai seseorang ingin meminta pendapat orang yang arif, terangnya.
“Contohnya untuk memulihkan hubungan suami dan isteri, tiada masalah untuk kita ceritakan kepada kaunselor dan seumpamanya, tetapi jika ia sengaja dilakukan (menyebarkan kepada orang yang tidak berkenaan), perkara itu dilarang sama sekali.
“Begitu juga halnya dari sudut jenayah. Umpamanya, kita menyaksikan seseorang itu membunuh atau mencuri, ini jenayah dan ada hukumnya dalam Islam. Jadi kita kena beritahu pihak berautoriti bahawa individu berkenaan seorang pencuri, perompak atau melakukan perbuatan yang mencabuli hak orang lain dan diri kita untuk mencegahnya daripada terus menjadi begitu,“ katanya.
Tegur vs buka aib
Bagaimana pula jika seseorang meluahkan perasaan kepada orang lain yang dipercayainya hingga segala keburukan individu yang membuat dirinya tertekan habis terlondeh?
Menjawab persoalan itu, Mohamad Hadi menjelaskan, sekiranya kita menceritakannya kerana mahu mendapatkan buah fikirannya tentang situasi dihadapinya kepada orang yang dipercayai, maka ia dibenarkan.
“Apa yang menjadi masalahnya adalah kalau seseorang itu dengan ‘saja-saja‘ bercerita tanpa sebab dan tujuannya. Setakat meluahkan perasaan sahaja, itu tidak boleh,“ tegasnya.
Andai seseorang sekadar memaklumkan sisi buruk individu tertentu supaya berhati-hati agar tidak menjadi mangsa, agamawan itu menjelaskan, ia dibenarkan.
“Mungkin dia mengungkapkan si polan itu seorang penagih dadah, ‘scammer‘ dan sebagainya supaya individu yang diberitahu itu berjaga-jaga, itu memang kena didedahkan kerana melibatkan orang ramai supaya mereka tidak ditipu, dianiaya dan sebagainya,“ katanya.
Kepada satu soalan, Mohamad Hadi menjawab: “Kalau seseorang lakukan maksiat secara terang-terangan dan semua orang tahu, maka kita boleh menegur juga dengan cara sedemikian. Ini kerana ada segelintir orang tidak tahu apa yang dibuat itu satu kesalahan.
“Apabila kita berbuat demikian, orang akan berwaspada dan tidak terpengaruh. Misalnya perkara syirik seperti ajaran Si Hulk yang bercanggah daripada agama Islam.
“Namun, andai perkara (aib) itu dibuat secara sembunyi tanpa diketahui orang lain, cuma beberapa orang saja yang tahu, maka tidak perlulah kita tegur di media sosial.“
Sesungguhnya, benarlah aib orang sama mahalnya dengan cela sendiri, ungkapnya.
“Jika kita enggan aib diri dijaja, orang lain pun begitu. Bahkan, ALLAH akan melindungi aib kita di dunia dan akhirat andai kita menutup cela orang,“ ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!