'Perang ragut zaman remaja saya'

Penghuni Kem Pelarian Sharkiah di Albab, Syria mengambil bahan bakar untuk digunakan memanaskan badan semasa musim sejuk ketika ini.
Penghuni Kem Pelarian Sharkiah di Albab, Syria mengambil bahan bakar untuk digunakan memanaskan badan semasa musim sejuk ketika ini.
A
A
A

ALBAB (Syria) - Kemiskinan dan kesusahan hidup memaksa seorang anak Syria melupakan zaman remajanya apabila perlu bekerja bagi menyara keluarga selepas menjadi mangsa perang yang tercetus kira-kira sembilan tahun lalu.

Muhammad, 15, yang tinggal di Kem Pelarian Sharkiah di daerah ini berkata, konflik tersebut bukan sahaja mengakibatkan rumahnya musnah akibat dibom tetapi juga hilang harapan dan masa depannya gelap.

"Saya tidak lagi bersekolah kerana kehidupan amat susah dan perlu mencari nafkah untuk menyara keluarga. Saya bekerja di ladang zaitun berhampiran kem pelarian ini dengan gaji dua dollar (AS$2) sehari," katanya.

Sukarelawan dan aktivis, Fadli Umar Aminolhuda, 30, merakam kenangan bersama Muhammad yang datang untuk mengambil bahan api di Kem Pelarian Sharkiah, Albab, Syria.
Sukarelawan dan aktivis, Fadli Umar Aminolhuda, 30, merakam kenangan bersama Muhammad yang datang untuk mengambil bahan api di Kem Pelarian Sharkiah, Albab, Syria.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima bantuan bahan api daripada Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) dan Pasar Raya Econsave (Econsave) di kem pelarian berkenaan pada Khamis.

Sumbangan disampaikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr Mohd Zin Kandar; Pengurus Besar Pasar Raya Econsave, Mas Imran Adam dan Pengurus MyCARE Johor, Rozi Abdul Ghani.

Bagi Najuah Sensotu, 43, kehidupan di kem pelarian berkenaan amat susah dan perkara utama yang hanya perlu diberi keutamaan adalah kelangsungan untuk meneruskan hidup.

Artikel Berkaitan:

Ibu kepada sembilan anak itu berkata, keluarganya sudah mendiami kem pelarian tersebut sejak lima tahun lalu bersama suami dan dua anaknya dalam keadaan daif.

"Sejak tinggal di kem pelarian ini apabila hujan, keluarga kami tidak mempunyai tempat untuk berteduh kerana kanvas sedia ada sudah bocor. Kami capai apa sahaja untuk menutup kepala daripada terkena air hujan.

"Perang yang berlaku di negara ini menjadikan hidup kami amat perit. Saya kehilangan dua anak lelaki berusia sembilan dan 24 tahun semasa perang meletus pada 2011 di tempat asal di Saraqib sebelum melarikan diri ke daerah ini," katanya.

Wahidah, 61, pula berkata, dia dan suami hidup di kem pelarian tersebut dengan bantuan pihak luar, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk setempat yang bersimpati dengan keadaan mereka.

Dia yang mempunyai dua anak dan menghidap sakit kaki serta penglihatan kurang jelas berkata, mereka hidup seadanya kerana sudah tidak mampu lagi untuk bekerja.

"Suami saya kini bergantung hidup dengan menggunakan kerusi roda manakala anak-anak saya sudah meninggal dunia. Bukan sahaja mencari rezeki, mendapatkan kayu api untuk dijadikan bahan bakar pun kami tidak terdaya lagi.

"Selama ini kami menerima kayu api daripada jiran-jiran untuk dijadikan bahan bakar. Kami berasal dari Al-Bukamal dan berlindung di kem pelarian ini sejak tujuh tahun lalu,'" katanya.

Sementara itu, Dr Mohd Zin berkata, bantuan bahan api itu disediakan untuk 267 keluarga di kem pelarian tersebut dengan setiap keluarga menerima lima guni yang boleh digunakan kira-kira selama lima hari.

Dari kanan Rozi, Dr Mohd Zin dan Mas Imran menyediakan pek makanan sebelum dihantar ke beberapa kem pelarian sekitar Abad, Syria pada Khamis.
Dari kanan Rozi, Dr Mohd Zin dan Mas Imran menyediakan pek makanan sebelum dihantar ke beberapa kem pelarian sekitar Abad, Syria pada Khamis.

"Mereka perlukan bahan api untuk memanaskan badan kerana sekarang ini musim sejuk," ujar beliau yang juga Penasihat MyCare Johor.

Sementara itu, Mas Imran berkata, MyCARE dan Econsave mengadakan akikah empat ekor kambing biri-biri pada Khamis dengan setiap satunya berharga RM1,400 seekor hasil sumbangan rakyat Malaysia.

"Kambing biri-biri tersebut disembelih dan dimasak sebelum dihantar ke kem-kem pelarian sekitar daerah ini. Kira-kira 160 sehingga 200 orang daripada 40 keluarga pelarian mendapat manfaat daripada program akikah tersebut," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!