Nasihat buat guru panas baran
KECOH di media sosial baru-baru ini apabila tular satu video seorang guru didakwa menampar dan menendang murid sewaktu perhimpunan dipercayai hanya disebabkan murid terbabit tidak hormat lagu Negaraku di majlis itu.
Difahamkan, video berdurasi 41 saat itu telah dirakam sendiri oleh guru yang berada di lokasi kejadian sebelum dikongsikan di media sosial.
Ramai netizen meluahkan rasa kurang senang dengan cara guru itu kerana dilihat keterlaluan sekali gus menggesa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan ke atas kekerasan yang dilakukan itu.
Namun juga yang menyokong perbuatan guru terbabit dengan berpendapat bahawa ia salah satu cara untuk mendidik kanak-kanak.
Sejujurnya, penulis agak beremosi bila melihat video itu kerana secara peribadinya ia perbuatan 'agak melampau' kerana ada banyak lagi cara untuk mendidik murid.
Mungkin ada yang kata, murid sekarang terlalu 'manja', lembik' dan tidak boleh 'disentuh' berbanding dahulu.
Namun tidak pada penulis kerana seorang pendidik yang mempunyai empati tidak akan memalukan dan menjatuhkan keyakinan seorang murid di khalayak ramai.
Macam mana nakalnya murid itu, bukan itu caranya. Mereka juga ada air muka yang perlu dijaga.
Bagi penulis, mendidik ini ikutlah mahu guna cara apa sekalipun asalkan bukan memaki, body shaming, pukul di kawasan muka dan kepala.
Terdapat dalil tentang larangan memukul muka walaupun bertujuan untuk mendidik kerana wajah adalah tempat sangat mulia yang perlu dipelihara.
Sabda Nabi SAW: "Jika kamu berperang (bertelagah/bergaduh) elakkan daripada memukul di bahagian wajah." (Riwayat Muslim) Menurut Imam al-Nawawi, larangan itu turut meliputi larangan menampar, menumbuk dan sebagainya walaupun yang melakukan perbuatan itu adalah ibu bapa.
Dalam sesetengah hal, bagus juga kuasa viral kerana ia menghalang budaya normalisasi. Sebab yang terkesan adalah mangsanya dan ada juga yang menerima kesannya sehingga dewasa.
Oleh kerana tugas dan tanggungjawab guru itu dipandang mulia, sepatutnya isu sebegini boleh diselesaikan secara logik akal, bukan dengan cara menaikkan tangan ke muka murid.
Benar, guru juga manusia, punya emosi tetapi apabila sifat amarah dan baran menguasai diri, inilah natijahnya.
Menurut Pensyarah Kanan, Pusat Kajian Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohd Suhaimi Mohamad, sikap panas baran adalah satu bentuk ekspresi emosi yang terpendam oleh individu sehingga melepaskan amarah dan sikap agresif yang tidak terkawal.
Ujarnya, panas baran juga satu bentuk masalah kesihatan mental akibat ketidakupayaan mengawal perasaan marah sehingga bertindak agresif bagi menunjukkan kuasa dominan ke atas individu lain.
Kata Imam Syafie, "Marah adalah antara panah syaitan yang mengandungi racun. Oleh itu hindarilah ia supaya kamu dapat menewaskan syaitan dan bala tenteranya."
Dalam hal ini, tiada niat mahu pertikai tugas guru apatah lagi ramai kalangan rakan termasuk kakak penulis sendiri seorang guru. Mereka begitu bertoleransi serta berdedikasi dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai pendidik.
Penulis juga percaya setiap guru sebenarnya sangat prihatin kepada anak muridnya, tidak mahu bertindak kasar terhadap mereka kerana tindakan seperti itu boleh memakan diri.
Teringat kata-kata seorang rakan penulis, "Kekuatan seorang guru adalah sabar dan jadikanlah sekolah itu ladang untuk tuai pahala."
Buat guru semua, sayangilah murid dan pandang mereka dengan kasih sayang, macam anak sendiri.
Suatu masa dahulu guru juga bermula dari tidak pandai dan nakal. Bayangkan ketika kita bersekolah dahulu, macam mana kita hendak cikgu melayan kita. Begitulah kita perlu melayan murid, mesti ada perasaan empati.
Letakkan perasaan kita dalam perasaan orang, barulah kita boleh bekerja dengan jiwa.
* Azie Yahaya ialah Editor Pengisian Sinar Harian
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!