Murid Tahun 2 berkempen cegah denggi sejak usia lima tahun
MANJUNG - Usia lapan tahun bukan penghalang buat murid Tahun 2 dari Sekolah Kebangsaan (SK) Dato' Ishak di sini untuk bersama-sama Komunikasi Untuk Perubahan Tingkahlaku (Combi) Daerah Manjung berkempen mencegah penularan denggi.
Nur Sania Khaday yang petah berbicara menjelaskan pengalaman berbicara di khalayak ramai bermula sejak berusia lima tahun bersama-sama Combi Komuniti Teluk Muroh.
Menurutnya, pengalaman itu amat menyeronokkan bukan sahaja berkempen dalam kalangan rakan-rakan di sekolah tetapi turut turun padang ke pasar-pasar malam untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat.
"Ketika berusia lima tahun lagi saya sudah berceramah tentang bahaya nyamuk aedes ini sebab demam denggi boleh membawa maut. Saya nak masyarakat sedang tentang bahaya demam denggi kerana sehingga kini belum ada vaksin seperti Covid-19.
"Kalau saya boleh ada kesedaran, saya nak orang dewasa juga turut ada kesedaran dengan membersihkan kawasan rumah masing-masing selama 10 minit," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas menyampaikan ceramah mengenai pencegahan denggi di Ibu Pejabat Polis (IPD) Manjung di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengerusi Combi Daerah Manjung, Wong Lay Keong dan Pengerusi Combi Komuniti Teluk Muroh, Datin Maziah Rafie.
Nur Sania berkata, pada awal penglibatannya itu memang agak gugup berdepan dengan ramai orang namun selepas itu lebih petah dan tidak lagi gentar membuat persembahan.
Sementara itu, Maziah berkata, usaha dilakukan Nur Sania amat membantu dalam usaha menyedarkan masyarakat tentang pentingnya menjaga persekitaran agar tiada pembiakan nyamuk aedes.
Menurutnya, kepetahan Nur Sania itu juga melayakkan kanak-kanak itu dilantik sebagai Duta Combi Kids SK Dato' Ishak di sini selain turut dijemput memberikan ceramah di sekolah-sekolah serta komuniti di luar daerah Manjung.
"Alhamdulillah dengan penglibatan adik Nur Sania ini bersama Combi, kawasan kami di Teluk Muroh tiada berlaku wabak denggi. Sekarang ini kami sedang giat menjalankan kempen di sekitar Manjung memandangkan kes wabak meningkat.
"Jadi kita berharap usaha yang dijalankan ini membuahkan hasil sekaligus menurunkan jumlah kes demam denggi di daerah ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!