Litrak, Sprint laksana sistem RFID esok
SHAH ALAM - Lingkaran Trans Kota Sdn Bhd (Litrak) dan Lebuhraya Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) bersedia melaksanakan sistem pembayaran transaksi Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) bermula esok.
Pelaksanaan itu mendapat kerjasama daripada cbagi menyediakan perkhidmatan selesa dan mudah kepada pengguna RFID di kesemua plaza tol Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Sprint.
Ketua Pegawai Eksekutif Litrak dan Sprint, Sazally Saidi berkata, sistem pembayaran tol secara RFID mula dilaksanakan di bawah Program Fasa Pilot di kesemua plaza tol LDP dan Sprint bermula pertengahan tahun 2018 sehingga kini.
"Dianggarkan bilangan pengguna RFID akan meningkat dari masa ke masa, di samping dapat menikmati cara yang selamat dan pantas untuk transaksi tol melalui sistem pembayaran tol RFID," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sazally memberitahu, Litrak dan Sprint menyambut baik hasrat dan inisiatif proaktif kerajaan untuk memperkenalkan sistem pembayaran tol baharu di samping medium pembayaran tol alternatif 'Touch n Go' dan SmartTAG sedia ada.
"Kami percaya bahawa langkah ini amat penting ke arah evolusi peningkatan perkhidmatan industri sistem tol dan,seterusnya memperkenalkan sistem Pelbagai Lorong Aliran Bebas atau Multi-Lane Free Flow (MLFF) pada masa hadapan," katanya.
Katanya, pada masa ini, semua plaza tol di LDP iaitu Plaza Tol Penchala, Plaza Tol PJS, Plaza Tol Puchong Barat dan Plaza Tol Puchong Selatan dilengkapi dengan satu lorong khas RFID di setiap arah.
"Di Lebuhraya Sprint pula, lorong hibrid RFID berserta Touch ‘n Go dan SmartTAG disediakan di Plaza Tol Damansara, Plaza Tol Pantai dan Plaza Tol Bukit Kiara," katanya.
Sebarang maklumat lanjut mengenai sistem pembayaran tol RFID secara percuma, pengguna lebuh raya boleh melayari laman sesawang https://rfid.touchngo.com.my.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!