Bintang FC Seoul sertai Kedah?
PERTAHANAN tengah dari kelab Liga Korea Selatan (K-League), Osmar Barba dilaporkan bakal memperkuatkan benteng Kedah Darul Aman FC pada saingan Liga Super 2024.
Perkara tersebut kini hangat diperkatakan selepas Korea Football News di laman X melaporkan, pemain kelahiran Sepanyol berusia 35 tahun itu yang telah sembilan tahun bersama FC Seoul dikatakan mahu berhijrah dan Sang Kenari adalah destinasi seterusnya.
FC Seoul melalui laman Facebook rasminya pada Khamis turut mengumumkan bahawa mereka tidak lagi melanjutkan kontrak bersama Barba.
Menurutnya, Barba yang mempunyai ketinggian 1.92 meter antara pemain pertahanan kualiti yang pernah dimiliki oleh kelab tersebut selama ini.
“FC Seoul telah memutuskan untuk tidak lagi menandatangani kontrak baharu bersama Osmar bagi perubahan dan cabaran baharu untuk skuad untuk musim 2024.
“Kami menzahirkan rasa hormat dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Osmar, yang telah melakukan segala-galanya untuk pasukan secara konsisten selama sembilan tahun yang lalu,” katanya.
Tambah kelab itu, pemain tersebut kini adalah salah seorang legenda FC Seoul.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!