Rakyat Kedah tidak sabar sertai Fun Walk Mai Singgah Alor Setar 2024
ALOR SETAR - Penganjuran program Fun Walk Mai Singgah Alor Setar 2024 yang akan diadakan pada Sabtu amat dinanti-nantikan oleh para peserta dan rakyat negeri ini.
Program yang bermula dari jam 8 pagi hingga 12 tengah hari itu menyediakan pelbagai aktiviti menarik terutamanya di reruai Sinar Harian.
Seorang peserta, Ima Aimi Nadia Ibrahim, 34, berkata, tema yang diketengahkan penganjur juga sangat menarik kerana menggunakan laluan di lokasi-lokasi bersejarah sekitar Alor Setar.
"Sebelum ini program yang saya sertai selalunya pada waktu malam, jadi tak dapat nak melihat bandar raya Alor Setar dengan lebih dekat.
"Jadi bila ada Fun Walk ini saya tak terlepas untuk menjadi yang terawal mendaftar dan sejujurnya saya tak sabar untuk meneroka sejarah dan tempat-tempat menarik di Alor Setar," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.
Katanya, penganjuran seperti ini sangat bagus kerana memberi peluang kepada peserta terutamanya dari luar Kedah mengenali Alor Setar dengan lebih dekat.
Muhammad Shamim Mohd Fuaat, 26, berkata walaupun sudah berpindah dan tinggal di Pulau Pinang, namun dia tidak terkecuali untuk menyertai fun walk terbabit.
"Walaupun sering balik kampung di Jitra, tetapi saya tak sempat nak menerokai tempat-tempat menarik di sekitar Alor Setar.
"Jadi bila ada program macam ini, saya ajak isteri sertai kebetulan kami cuti pada Sabtu. Saya yakin banyak ilmu dan info-info menarik tentang Alor Setar yang akan kami dapat nanti," katanya.
Bagi Zulkifli Derani, 32, walaupun tidak menyertai fun walk terbabit, tetapi dia akan membawa dua anaknya berkunjung ke reruai yang disediakan.
"Saya dengar ada banyak reruai, boleh juga bawa anak- anak, lagipun sekarang musim cuti sekolah ada juga aktiviti untuk mereka buat," katanya.
Program yang dianjurkan sempena Tahun Melawat Alor Setar itu merupakan kolaborasi kali pertama Sinar Harian sebagai media rasmi bersama Darulaman Media Event dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).
Ia akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan hadir sama, Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin serta Datuk Bandar Alor Setar, Mohd Yusri Md Daud.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!