Sekat kapal Israel berlabuh tidak jejas hubungan negara luar
PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sekatan Malaysia terhadap Syarikat perkapalan yang berpangkalan di Israel, ZIM tidak akan menjejaskan hubungan Kuala Lumpur dengan negara luar.
Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, pendirian Malaysia itu tidak bermaksud negara ini tidak menghargai hubungan negara lain.
"Kita tidak melihat kepada terjejasnya hubungan Malaysia dengan negara lain, topik kita tidak membenarkan kapal yang menggunakan bendera Israel," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis serah dan terima tugas di Wisma Putra di sini pada Jumaat.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai kedudukan hubungan Malaysia dengan negara lain terutamanya sekutu Israel.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan larangan yang berkuat kuasa serta- merta itu turut menghalang kapal yang menggunakan bendera Israel untuk berlabuh di mana-mana pelabuhan negara ini.
Selain itu, kapal yang dalam perjalanan menuju ke Israel turut dikenakan sekatan sama.
Ketetapan berkenaan sebagai tindak balas terhadap tindakan Israel yang mengenepikan prinsip asas kemanusiaan dan melanggar undang-undang
antarabangsa menerusi pembantaian dan kekejaman berterusan terhadap warga Palestin.
Sementara itu, Mohamad berkata, fokus dan tunjang hubungan Malaysia dengan negara luar tidak beralih sejak dahulu lagi.
"Kita akan menambah nilai apa yang perlu diperkasakan untuk menerangkan konsep Kerajaan Madani," katanya.
Ujar beliau, Malaysia tidak akan mengenepikan keutamaan untuk mengekalkan hubungan baik sama ada di peringkat negara serantau atau antarabangsa.
Di samping itu, Mohamad berkata, kementerian akan memberi penekanan terhadap diplomasi ekonomi dalam usaha untuk memudahcara aktiviti perdagangan dan menarik pelaburan asing ke dalam negara.
"Berdasarkan kepada pengalaman, saya akan terus berusaha untuk mengukuhkan hubungan dan kerjasama dua hala dengan negara luar serta rakan strategik sedia ada.
"Dalam hal ini, fokus utama adalah untuk meneruskan usaha meningkatkan status hubungan dua hala kepada tahap perkongsian strategik komprehensif seperti mana dimeterai dengan Jepun baru-baru ini," katanya.
Ujar beliau, Wisma Putra akan berfungsi sebagai jambatan antara Malaysia dengan negara luar.
"Ini merupakan tugas yang dipikulkan tanggungjawab ke atas bahu kami sebagai keluarga besar Wisma Putra, terutamanya dalam mengharungi ketidaktentuan politik dan ekonomi global.
"Kita menjadi pengimbang bagi mengekalkan equilibrium yang telah sedia terbina antara Malaysia dengan masyarakat antarabangsa," katanya
Mohamad sebelum ini Menteri Pertahanan bertukar portfolio menggantikan tempat Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang ditukarkan ke Kementerian Pendidikan Tinggi selepas rombakan kabinet baru-baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!